Geng Aunty Edar Dadah Di Salon Tumpas


KUANTAN -Taktik sekumpulan pengedar menjadikan salon di Taman Aman, Jalan Bukit Sekilau di sini sebagai lokasi mengedar dadah terbongkar selepas premis itu diserbu polis, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Aunty’ itu dianggotai sepasang suami isteri berusia 55 dan 53 tahun, pemilik salon (36 tahun) dan seorang lelaki ( 38 tahun) dan perempuan (44 tahun), ditahan pada pukul 4.45 petang Selasa.

“Pemeriksaan di premis itu menemui pelbagai jenis dadah di dalam bilik antaranya satu paket perak dan lima paket lutsinar dipercayai mengandungi heroin dianggarkan seberat 875.85 gram, 330 pil erimin 5 dan tiga paket kecil syabu seberat 27.50 gram,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata siasatan lanjut mendapati kumpulan ini aktif mengedar dadah yang didakwa diperoleh dari Kuala Lumpur kepada pelanggan sekitar Kuantan terutamanya di kawasan nelayan di Kemunting, di sini.

“Semua suspek mempunyai pelbagai rekod bersabit kes dadah selain positif dadah jenis amphetamine, “ katanya.

Menurut beliau, pasangan suami isteri itu juga merupakan bekas tahanan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) pada 2009 dan 2012.

Abdul Aziz berkata semua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – BERNAMA