Google Malaysia Jadi Majikan Pilihan Utama Pencari Kerja


KUALA LUMPUR – 10 syarikat Malaysia yang menjadi pilihan utama pencari kerja disenaraikan oleh portal pekerjaan atas talian JobStreet.com bagi tahun 2017.

Penyenaraian berkenaan adalah berdasarkan kajian membabitkan 10,241 warga Malaysia bagi menentukan syarikat yang menjadi pilihan utama.

Menurut kajian itu, Google Malaysia yang merupakan sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat diiktiraf sebagai syarikat yang menjadi pilihan utama responden.

Ia menjadi pilihan setelah berjaya menerapkan keseimbangan dalam kerjaya dan kehidupan sosial pekerja.

Ini diikuti dengan Petronas, Shell Malaysia, Sime Darby, AirAsia Berhad, Maybank, Nestle Malaysia, Intel Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Eco World Development Group Berhad.

Pengurus Negara Jobstreet.com, Chook Yuh Yng berkata, dalam dunia ekonomi baharu kini, pencarian tidak lagi hanya merujuk kepada insentif mahupun kelebihan dari segi kewangan.

“Kini majikan perlu pendekatan baharu yang unik dan strategik untuk menarik minat mereka yang mencari pekerjaan.

“Sebagaimana yang diketengahkan dalam kajian 10 Majikan Pilihan Utama 2017, pembangunan pekerja memberi peluang yang lebih cerah terhadap majikan dan pekerja,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Komersial SEEK Asia, Martin Hayden dan Ketua Pegawai Produk (CPO) SEEK Asia, Kenneth Chin.

Tahun lalu, syarikat industri minyak dan gas negara, Petronas menjadi pilihan utama sekaligus merangkul gelaran itu. –Kedahnews.com