SHAH ALAM - Graduan negara ini boleh memahami atau menghafal apa sahaja yang datang daripada buku rujukan, namun gagal mengikuti perkembangan berita semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Future Forest Sdn Bhd, Safina Yaakob berkata, hal itu berlaku kerana graduan masa kini kurang membaca akhbar, sekaligus menjadikan graduan kurang pengetahuan dalam perkembangan semasa.
"Kita kena baca akhbar. Bukan hanya baca (media sosial) Facebook, Whatsapp dan sebagainya.
"Sekurang-kurangnya bila keluar universiti, mereka tahu apa yang berlaku di luar sana," katanya ketika membuka bicara menerusi Wacana Sinar Harian Siri ke-47 dengan membawa tajuk “Graduan Menganggur: Sampai bila?” di Pentas Utama, Universiti Selangor (Unisel) Seksyen 7, di sini, hari ini.
Menurut Safina lagi, graduan negara ini juga perlu fasih berbahasa Inggeris sebagai persediaan untuk menyertai alam dan industri pekerjaan.
"Kita perlu memposisikan diri sendiri. Graduan kena mahir pelbagai bidang, kena pandai dan menguasai pelbagai perkara. Kalau tidak macam mana graduan mahu bertahan di luar sana?" soalnya.
Sumber: Sinar Harian