SHAH ALAM - Graduan hari ini perlu membina ‘branding’ diri sendiri dalam mencari peluang pekerjaan,’ kata Pengasas dan Chef Eksekutif Kumpulan, Sukasucre Group of Companies, Datuk Fazley Yaakob.
Menekankan perkara itu beliau menjelaskan ‘branding’ adalah apa yang diperkatakan tentang anda, apabila anda meninggalkan bilik tersebut.
“Misalnya, anda dikenali oleh orang lain sebagai orang yang suka meniru ‘home work’ orang lain, orang ini rajin dan sebagainya. Jadi, orang lain mengenali anda sebagai apa? Apa ‘branding’ anda?
“Maka, dalam mencari peluang pekerjaan, seorang graduan itu perlu tahu akan prestasi dan kemampuan diri,” katanya pada Wacana Sinar Harian ke-47 bertajuk "Graduan Menganggur: Sampai Bila?" yang diadakan di Unisel, sempena Hari Terbuka Unisel 2017, semalam.
Ujarnya, dalam proses membina ‘branding’ diri juga, perlu bermula dengan niat dan tahu apa yang diinginkan.
“Dalam proses membina branding juga, kritikan terhadap diri juga perlu, tetapi usaha mengkritik diri sendiri dalam membentuk jenama, kita tidak boleh lakukan dengan kasar.
“Kita sering salahkan orang lain, apabila tidak berada di tempat yang kita mahukan. Kita sering menuding jari pada orang lain, syarikat itu tidak bertanggungjawab, ibu bapa yang salah bagi arahan dan sebagainya.
“Akhirnya, kita perlu faham apabila kita mengkritik diri sendiri dalam mencipta jenama. Kita harus konstruktif walaupun diri sendiri,” katanya.
Sumber : Sinar Online