Guan Eng Tak Perlu Kecoh "Dubai Kedah", Jaga P. Pinang


ALOR SETAR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ternyata amat 'terkejut' dengan pelaksanaan kerja-kerja tambak laut bagi tapak pembangunan projek komersial  Aman Laut di Kuala Kedah.

Beliau terkejut apabila mendapat tahu kerja-kerja awal projek berkenaan telah dimulakan terlebih dahulu sebelum mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Malah beliau juga mahu pemaju yang melaksanakan projek yang dikenali " Dubai Malaysia" itu  'dipenjarakan'.

Sebenarnya, Guan Eng tidak perlu risau sangat dengan satu projek di negeri jirannya yang mulakan dilaksanakan oleh pemaju tanpa kelulusan JAS. 

Di samping melihat 'kesalahan' orang lain, lebih baik juga beliau memberi tumpuan kepada pelbagai projek mega di Pulau Pinang yang dilaksanakan tanpa mematuhi arahan JAS terlebih dahulu.

Ribuan nelayan dan penduduk Pulau Pinang sekian lama memprotes tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan projek tambak laut selain rancangan pembinaan terowong dasar laut yang menimbulkan banyak kontroversi.
  
Ramai nelayan di negeri itu dilaporkan hilang sumber pendapatan hasil laut. Mereka telah lama menderita akibat kerakusan kerajaan negeri membina pelbagai projek komersial tanpa mengambil kira kemusnahan alam sekitar di negeri itu. 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga sering kali 'memberi amaran' kepada kerajaan negeri itu tentang kemungkinan berlakunya kerosakan alam sekitar dan ekosistem.

Bagaimanapun kerajaan negeri Kedah telah mengambil tanggungjawab untuk mengekalkan alam sekitar selain mendengar keluhan rakyat yang khuatir kemungkinan sumber pendapatan mereka terjejas akibat kemusnahan ekosistem akibat tebus guna laut.

Dalam isu EIA untuk projek Aman Laut yang bernilai RM1.2 bilion, kerajaan negeri Kedah mematuhi sebaik sahaja menerima arahan daripada JAS yang mahu kerja-kerja awal itu dihentikan sementara waktu sebelum mendapat kelulusan kajian kesan alam sekitar.

"Kerajaan negeri mengambil tanggungjawab tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Kita tiada bantahan dengan arahan kementerian," kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Dr. Leong Yong Kong.  

Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajib Che Ibrahim mengesahkan jabatannya mengeluarkan arahan tersebut menerusi notis pada 15 Mac lalu.

Arahan itu juga untuk pemaju mematuhi syarat laporan EIA sebelum meneruskan projek berkenaan. - Kedahnews.com.