Guna Taktik Sorok Dadah Dalam 'Clutch Bag'

Guna taktik sorok dadah dalam 'clutch bag'

SEPANG - Kelicikan menyeludup dadah yang disembunyikan di dalam 'clutch bag' tidak ke mana.

Taktik itu kecundang selepas Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menahan seorang lelaki kira-kira jam 7.40 pagi, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST), Datuk Zulkifli Yahya berkata, pemeriksaan mendapati suspek datang ke Malaysia menaiki penerbangan Malindo Air dari Kochi, India.

Menurutnya, pihaknya telah menahan lelaki warga India itu dan telah membuat imbasan terhadap bagasinya.

"Hasilnya imbasan dan pemeriksaan dapati serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin disorok dalam ruang khas dalam 54 buah 'clutch bag' yang dijumpai dalam bagasi.

"Jumlah berat dadah kira-kira 8.37 kilogram dianggar bernilai RM376,650," katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam KLIA, hari ini.

Zulkifli berkata, siasatan dapati suspek jadikan Malaysia sebagai destinasinya dan bukan sebagai transit.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai hubungan dengan sindiket dadah dalam negara namun siasatan masih dijalankan.

"Kita juga masih menyiasat sama ada suspek berusia lingkungan 38 tahun ini merupakan keldai dadah atau pun bukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Statistik rampasan dadah melalui KLIA pada tahun ini merekodkan tujuh kes dengan merampas 30.757 kilogram bernilai RM1.33 juta.

Sumber: Sinar Harian