Haikal Ungguli Muay Thai Amatur


KUANTAN - Peserta berpengalaman, Muhamad Haikal Hakimi Shahrul Efendi mengungguli kategori 67 kilogram (kg) di Kejohanan Muay Thai Amatur Pahang yang berlangsung di dewan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Galing, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Persatuan Muay Thai Pahang dengan kerjasama Kelab Harimau Biru Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu disertai lebih 30 peserta tempatan dan luar bertujuan mencungkil bakat baru dalam kalangan remaja selain mempopularkan sukan itu.

Pengarah kejohanan Mohamed Nizam Abdilah berkata, sebanyak lima kategori lelaki dan perempuan dipertandingkan pada kejohanan yang turut dijadikan medan untuk memilih peserta terbaik bagi mewakili Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 nanti.

Katanya, kejohanan sehari itu disertai peserta yang mewakili sembilan kelab Muay Thai di seluruh Pahang dan kebanyakan mereka pernah menyertai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan.

Beliau berkata, setiap kelab menghantar peserta remaja dan walaupun cetek pengalaman, kemahiran serta semangat tinggi dimiliki bakal melonjakkan nama mereka nanti.

“Saya menyenaraikan lebih 20 peserta pada kejohanan ini untuk mengikuti sesi pemilihan pasukan SUKMA Pahang. Hanya peserta terbaik akan layak mewakili negeri,” katanya pada majlis penutup disempurnakan Presiden Persatuan Muay Thai Pahang Datuk Halimi Kamaruzaman.

Mohamed Nizam yang juga pengurus Kontinjen Muay Thai Pahang SUKMA 2018 berkata, persiapan lebih rapi akan dilakukan dalam usaha membawa pulang pingat yang ditawarkan.

Sumber : MyMetro