Harga Ayam, Daging Naik Di Pasar Alor Setar


ALOR SETAR - Hari pertama Ramadan mendapati harga ayam bersih di sini meningkat kepada RM8.50 sekilogram (kg) berbanding  RM7.80 kg sebelum ini.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar di sini mendapati, kebanyakan peniaga memberikan alasan ia disebabkan kenaikan harga ladang sejak tiga hari lepas.

Peniaga ayam, Mohd Lutfi Abdul Ghani, 57, berkata sejak berlaku kenaikan harga itu, dia mengehadkan stok kepada 70 ekor ayam sehari kerana khuatir tidak habis berbanding 100 ekor ayam sehari sebelum ini.

"Memang ada pengguna merungut, tetapi ada juga yang faham. Kami peniaga tak boleh buat apa sebab harga ayam di ladang pun dah mahal, dulu harga ladang RM5.90 tetapi kini naik sehingga RM6.40. Penternak memberikan alasan kenaikan itu disebabkan harga makanan ayam naik dan petrol dan diesel naik menyebabkan kos pengangkutan naik," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga ayam, Wan Ahmad Fauzi Wan Ramli, 46, berkata, kenaikan harga ayam ketika ini turut berpunca daripada permintaan ayam yang meningkat daripada pengguna ekoran kenaikan harga ikan kembong.

Sementara itu, seorang pengguna, Syed Ahmad Syed Abu Bakar, 47, berkata, kenaikan harga ayam  amat mengecewakan dan membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai.

"Terpaksa beli lah untuk keluarga... harga naik,  turun pun terpaksa beli ," katanya.

Tinjauan juga mendapati tiada seorang peniaga pun yang menjual ikan kembong di pasar terbabit dan hanya terdapat ikan tongkol, selayang, cencaru, tamban, jenahak dan nyok-nyok.

Harga bagi ikan tongkol kini RM10 bagi setiap sekilogram berbanding RM8 kg, ikan selayang RM10 berbanding RM7, ikan cencaru RM9 (RM8), ikan tamban RM5 (RM4), ikan jenahak dan ikan nyok-nyok RM28 kg berbanding RM24 kg.

Tinjauan juga mendapati harga daging lembu tempatan naik kepada RM32 kg berbanding RM29 hingga RM30 sebelum ini.

Beberapa pengguna yang ditemui meminta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah  dapat membuat pemantauan untuk membendung kenaikan yang mendadak itu. - Bernama