KUALA LUMPUR – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac lalu, dan untuk tempoh seminggu berikutnya menyaksikan semua jenis minyak turun sedikit beberapa sen.
Ia sudah dijangka pelbagai pihak susulan tindakan beberapa negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan pengeluar yang menambah stok bekalan minyak mentah di pasaran dunia.
Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM pada jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu produk RON 95 kini menjadi sebanyak RM2.10 seliter, turun 2 sen berbanding sebelumnya iaitu RM2.12 seliter.
Manakala had harga runcit untuk petrol premium jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula ditetapkan kepada RM2.38 seliter, juga turun dua sen dibandingkan sebelumnya iaitu RM2.40 seliter.
Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama diumumkan menjadi hanya RM2.02 seliter iaitu merosot satu sen sahaja berbanding RM2.03 seliter ketika tempoh sebelumnya.
Stesen penyiaran awam kebangsaan tersebut melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum itu bermula dari pukul 12.01 tengah malam 1 Jun sehingga 11.59 malam 7 Jun depan.
Mulai 29 Mac lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.
Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983.
Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang bermula pada awal Disember 2014 lalu.
Namun, pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan pendek. –Kedahnews.com