Hasrat PPBM Letak Calon Di Parlimen Alor Setar Mungkin Tak Kesampaian


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mungkin kecewa jika  tidak dapat meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini memandangkan  Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan serahkan  kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu kepada mana-makan rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).

PKR juga tidak akan membenarkan parti yang bergabung dengan PH itu  'mengusik' kerusi-kerusi Parlimen yang ditandingi PKR walaupun parti itu  mengalami kekalahan pada PRU13 lalu

Sebelum ini ada ura-ura PPBM untuk meletakkan calon Melayu di Parlimen Alor Setar memandangkan lebih 60 peratus pengundinya  terdiri orang Melayu.

Selain itu, PPBM juga dikatakan sedang mengintai untuk meletakkan calonnya di Parlimen Kuala Kedah yang kini juga diwakili PKR.

Dua lagi kerusi Parlimen lain yang dimenangi oleh PKR di negeri ini ialah  Sungai Petani dan Parlimen Padang Serai  sementara di Parlimen Kulim-Bandar Baharu, PKR yang diwakili Datuk Saifuddin Nasution gagal untuk mengalahkan calon Barisan Nasional. 

Semasa berucap di Kongres Nasional PKR Ahad lepas, Saifuddin yang juga setiausaha agung  parti menegasakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim  telah memberi syarat agar  30 kerusi Parlimen yang dimenangi PKR dan beberapa  kerusi yang kalah dengan jumlah undi  sedikit  tidak akan diserahkan kepada parti  sekutunya dalam Pakatan Harapan.

Ini bermakna PKR tidak akan berkompromi dengan PAN dan PPBM dalam pembahagian kerusi Parlimen yang pernah ditanding oleh parti itu.

Bagaimanapun, dalam konteks di Kedah,  PPBM , PAN mahupun DAP masih boleh berkongsi 10 kerusi Parlimen lain yang tidak ditandingi oleh PKR..  

Pada PRU13  BN Kedah menguasai 10 kerusi Parlimen sementara empat kerusi lain dimenangi PKR dan satu lagi  oleh PAS.

Bagi kerusi Parlimen Kulim - Bandar Baharu, Saifuddin (PKR)  hanya tewas dengan majoriti  1,871 undi pada PRU13. Kerusi itu  juga tidak mungkin akan dikorbankan kepada PAN atau PPBM.- Kedahnews.com