HOG Korbankan Cuti Hujung Minggu Demi Tasputra


KUALA LUMPUR – Lebih 50 anggota kelab motosikal berkuasa tinggi, Harley Owner Group (HOG) Malaysia Chapter, hari ini mengorbankan cuti hujung minggu mereka demi menjayakan program amal untuk mengutip sumbangan bagi Tasputra Perkim.

Deruman motosikal berkuasa tinggi itu memeriahkan program yang bertujuan mengumpul dana untuk taman asuhan harian kanak-kanak istimewa itu di Ampang Hilir, di sini.

Presiden kelab berkenaan Roslan Ismail ketika berucap melahirkan rasa puas hati kerana pengamal aktiviti permotoran menunjukkan komitmen dan bersemangat tinggi untuk merealisasikan misi tersebut melalui acara ‘Harley Davidson Joy Ride’.

“Hari ini, dari pagi hingga 4 petang, kami mengenakan bayaran RM30 kepada orang ramai yang berminat untuk menaiki motosikal Harley Davidson sambil memberi sumbangan. Kami akan bawa mereka menaiki motosikal ini dari Tasputra hingga ke KLCC dan kembali semula ke Tasputra.

“Sebenarnya, pelbagai cara yang boleh lakukan untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan dan ini satu caranya bagi ahli-ahli HOG menabur bakti,” katanya kepada pemberita pada majlis amal itu di sini, hari ini.

Roslan yang juga dikenali sebagai TJ berharap HOG dapat menyumbangkan kira-kira RM5,000 melalui usaha itu, di samping mendekatkan lagi hubungan dengan mereka yang memerlukan bantuan.

Pengerusi Tasputra Perkim Elahe Norman pula berkata pihaknya membelanjakan sebanyak RM50,000 sebulan untuk kegunaan dan penjagaan kanak-kanak istimewa di pusat berkenaan seperti penyediaan latihan dan pendidikan, perubatan serta lain-lain aktiviti.

Pada masa ini, taman asuhan itu mempunyai 30 tenaga kerja daripada pelbagai bidang kepakaran, namun, ia masih memerlukan khidmat guru dan beberapa ahli terapi untuk merawat dan melatih 50 anak istimewa itu berdikari.

Elahe berkata selain mengumpul dana, acara itu juga diharap dapat memupuk kesedaran dan keprihatinan masyarakat tentang pentingnya membantu kanak-kanak istimewa.

“Kanak-kanak istimewa sering diabaikan kerana penjaganya tidak mempunyai motivasi dan pengalaman yang diperlukan untuk menjaga mereka, sebab itulah kita mahu mendidik masyarakat terutama ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak istimewa agar tahu cara yang betul menjaga mereka,” katanya.

Acara itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan nyanyian oleh anak-anak istimewa, demonstrasi dan jualan lukisan seni khat, jualan pakaian serta makanan dan minuman. – BERNAMA