Ibu Tulis Memoir Untuk Anak Sebelum "Pergi" Selamanya...


KUALA LUMPUR - Seorang ibu yang menghidapi penyakit yang jarang berlaku mengambil keputusan untuk menulis memoir untuk dijadikan kenangan oleh anak-anaknya.

"Buku ini akan menjadi sebuah legasi yang diharapkan dapat meninggalkan kenangan terhadap mereka yang pernah rapat dengan saya, terutamanya anak-anak," tulis  Azlena Abdul Hamid, 59, dalam buku berjudul 'The Shadow of Me'.

Azlena meninggal dunia ketika tidur pada pagi 1 September tahun lalu iaitu seminggu selepas dia menyiapkan buku itu.

Buku tersebut yang dikeluarkan pada minggu lalu menceritakan tentang Azlena dan keluarganya serta perjuangannya menentang penyakit ataxia, gangguan yang menyebabkan kehilangan fungsi motor.

Ataxia adalah penyakit neurologi yang sukar diubati dan disebabkan oleh kerosakan kepada sistem saraf otak serta kekurangan koordinasi bebas dalam pergerakan otot.

Azlena merupakan seorang daripada dua pesakit ataxia yang dikenal pasti di Malaysia, dia menulis tentang sisi berbeza dua anak lelakinya, Azzedin dan Aris Rusland.

"Ataxia membuka mata saya kepada banyak perkara. Antaranya, saya dapat melihat kasih sayang anak-anak terhadap saya.

"Saya mengambil masa untuk menyedari hal ini kerana saya sentiasa memberi kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada mereka," tulisnya.

Azzedin, 32, berasa bahawa buku tersebut adalah hadiah terakhir ibunya kepada orang-orang yang dicintainya.

"Dia memberitahu kami bahawa dia telah menulis buku dan kami berasa lega kerana dia mempunyai sesuatu untuk dilakukan sepanjang tempoh melawan penyakit yang dihidapinya.

"Buku ini membuatkan kami lebih memahami arwah ibu kami," katanya kepada The Star, sambil menambah bahawa dia dan Aris membaca prif manuskrip ibunya itu.

Kedua-dua Azzedin dan Aris, 28, gembira kerana mereka berpeluang menghabiskan masa yang berharga dengan Azlena sebelum ibu mereka meninggal dunia.

Sumber: mStar