Ini Reaksi Fattah Amin Lepas Dikritik "Kayu Paling Popular"


PADA awal kemunculan dalam industri seni, pelakon popular Fattah Amin pernah dikritik dan digelar sebagai pelakon kayu.

Maka, tidak hairanlah sekiranya imej carian Google akan memaparkan cerita Fattah ataupun gambarnya sekiranya ada pengguna menaip perkataan kayu.

Bagaimanapun, itu dijadikan modal bahan ketawa oleh sesetengah netizen yang sengaja menulis perkataan Kayu Paling Popular di imej Google, seterusnya memperlihat wajah Fattah.

Hal itu sekali gus menjadi tular di laman sosial, apatah lagi aktor kacak itu baharu sahaja memenangi Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) baru-baru ini.

Diminta mengulas perkara itu, Fattah memberitahu dia tidak perkecil hati dengan gelaran kayu paling popular itu sebaliknya ketawa besar apabila mendengarnya.

“Saya ada cakap kayu pun boleh popular ketika menerima trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) baru-baru ini.

“Agaknya ada penonton salah faham dan menjadikan perkara itu serius.

“Saya langsung tidak berasa terkilan malah tergelak besar apabila pencarian itu menjadi tular di media sosial,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan lain, Fattah kini sibuk dengan penggambaran drama Hero Seorang Cinderella yang kini sudah pun ditayangkan di Astro Ria. –Kedahnews.com