Irfan Belum Puas Banggakan Malaysia


KUALA LUMPUR - Atlet lempar cakera negara, Muhamad Irfan Shamsuddin masih dahagakan kejayaan dan mahukan balingan lebih baik bagi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Paling membanggakan dia menjadi atlet termuda muncul pemegang rekod Asia Tenggara acara berkenaan.

“Sudah lama saya mengimpikan perkara ini. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya. Pastinya ia kejayaan yang cukup menggembirakan,” katanya.

Ahad lalu, Irfan melakarkan sejarah dalam sukan olahraga tempatan apabila muncul pemegang rekod Asia Tenggara dengan balingan 61.10 meter.

Baling itu juga rekod baru kebangsaan, memadamkan catatan lama miliknya 59.29m yang dicipta di Kejohanan Slovak Clubs, Samorin, Slovakia, 11 Jun tahun lalu.

Bagi atlet muda kelahiran Negeri Sembilan itu, dia sebenarnya mampu melakukan balingan lebih baik namun kesakitan di bahagian pinggangnya sedikit membantutkan pergerakan.

“Saya mampu melakukan balingan lebih bagus, tapi ketika pertandingan saya kerap merasa sakit di bahagian pinggang dan perkara itu sedikit mengganggu.

“Apapun, saya harap dapat melakukan lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya.

Irfan yang juga pemegang rekod Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak itu dijangka menyertai empat lagi pertandingan di Republik Czezh, Switzerland, Australia dan Hungary sebelum kembali ke tanah air untuk menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada 19 Ogos ini.

Dia yang mengejar pencapaian hatrik di Sukan SEA itu menjadi taruhan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mempertahankan emas dimenanginya di Singapura dua tahun lalu.

Selain Irfan, Presdien KOM Datuk Karim Ibrahim turut yakin 34 atlet olahraga yang berada dalam program Kita Juara (KJ) mampu melakarkan kejutan dan memperbaiki pencapaian dua tahun lalu membawa pulang tiga emas, dua perak dan sembilan gangsa.

Sumber : MyMetro