Islam Sudah Sempurna, Apa Perlu Wujudnya Syiah? - PASAK


ALOR SETAR - Gerakan membasmi dan mencegah fahaman Syiah terus bersemarak dijiwa walaupun menerima pelbagai ancaman dan maki hamun dari penganut fahaman yang difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Asatizah Kebangsaan (PASAK), Mohd Khalil Munawwar Ahmad Masduki menegaskan, pihaknya sentiasa beristiqamah bersama Islam yang disampaikan Rasulullah SAW dan bukan fahaman yang direka-reka oleh 'raja munafik', Abdullah bin Ubai.

"Apa perlunya wujud Syiah? Apakah Islam yang dibawa Rasulullah SAW itu tidak lengkap sifatnya? Bukankah Allah menegaskan bahawa Islam itu telah sempurna?

"Jadi, tidak perlulah fahaman Syiah. Ia hanya direka-reka Abdullah bin Ubai untuk mengelirukan umat Islam, memesongkan akidah dan melemahkan Islam secara keseluruhan.

"PASAK tidak akan benarkan fahaman ini terus menular di bumi Malaysia ini, terutama di Kedah," kata beliau kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Aktif memenuhi jemputan ceramah memerangi fahaman songsang itu terutama di zon utara tanahair, difahamkan PASAK yang terkenal dengan ketegasan mencegah penularan Syiah itu kini mempunyai lebih 2,000 ahli di seluruh negara.

Mohd Khalil Munawwar berkata, beliau dan seluruh jemaah PASAK juga tidak terlepas dari ujian dalam mengharungi dakwah Sunnah Wal Jamaah dan menentang Syiah yang menggunakan uslub bertaqiyah di negara ini.

"Mereka memang licik. Masuk dalam mahkamah pun, mereka masih sanggup berbohong. Depan Al-Quran pun berbohong. Apatah lagi depan orang ramai, mereka cukup pandai berlakon," katanya lagi.

Tegas beliau, PASAK tidak dapat sama sekali menerima fahaman Syiah ekoran ajarannya yang jelas memesongkan akidah ummah dengan pelbagai andaian yang hanya bersandarkan kepada logik akal.

Selain itu katanya, pemesongan fakta sejarah dan sebab-sebab berlakunya kejadian di dalam hadis itu sering dilakukan puak Syiah, selain menghidangkan hukum yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

"Misalnya hadis yang mereka gelar sebagai 'ghadir khum', Syiah pesongkan fakta sebenar mendakwa Saidina Ali dibai'ah menggantikan Rasulullah SAW selepas baginda wafat. Sedangkan, hadis itu merujuk kepada tentera Islam yang perlu taat pada Saidina Ali walaupun tidak berpuas hati padanya.

"Contoh lain, Syiah sajikan kita dengan nikah mut'ah. Berapa ramai umat Islam yang terpengaruh dengan dakyah sesat yang bertentangan dengan hukum Islam ini? Nikah mut'ah itu hanya bertuhankan nafsu semata-mata," tegas beliau.

Justeru itu Mohd Khalil Munawwar meminta agar seluruh umat Islam di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan kelicikan Syiah menyebarkan fahaman mereka.

"Meskipun besar serban di atas kepalanya, jangan sesekali tertipu dengan penampilan kerana mungkin mereka bertaqiyyah," ujarnya.

Bagi pihak yang berhasrat untuk menjemput PASAK menyampaikan ceramah tentang bahaya Syiah, bolehlah menghubungi Ustaz Mohd Khalil Munawwar di sebelah utara di talian 019-255 2939, atau Timbalannya di Lembah Klang, Ustaz Rafizal Al-Yamani di talian 019-616 4077. - Kedahnews.com