Isu Buku “Becoming Hannah”: PAN Tegar Pertahan Pemimpin DAP


ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (PAN) bertindak mempertahankan tindakan pemimpin DAP, Hannah Yeoh yang sebelum ini mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk 'Becoming Hannah'.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub menyifatkan bahawa kritikan yang dilemparkan oleh seorang pensyarah universiti tempatan terhadap buku terbitan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hanya bertujuan bagi menimbulkan isu agama dan perkauman menjelang pilihan raya umum (PRU) ke – 14.

"Walaupun berbeza agama dengan saya, tetapi saya mendapati rata-rata tindakan beliau menunjukkan dia seorang penganut Kristian yang baik dan cuba membawa nilai-nilai baik yang diyakini agama yang dianuti itu membantu beliau menjadi ahli politik yang baik‎.

"Tak bolehlah kita mengatakan oleh kerana beliau daripada DAP, maka kita mengambil satu sikap tidak adil tanpa melihat kepada sebenarnya apa yang ingin Hannah (Yeoh) tunjukkan sebagai seorang wakil rakyat, speaker dan ahli politik," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Bagi Salahuddin, Hannah Yeoh adalah merupakan seorang individu dan pemimpin DAP yang mempunyai keperibadian yang mulia dan baik sebagai seorang penganut Kristian.

Justeru itu, pemimpin PAN tersebut beranggapan bahawa adalah tidak wajar bagi Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusuff  menyifatkan isi kandungan buka ‘Becoming Hannah’ sebagai satu usaha menghasut orang ramai yang bukan beragama Kristian supaya cenderong kepada agama Kristian.

"Mungkin kerana pilihan raya sangat dekat, jadi orang-orang seperti pensyarah ini ingin menjadikan isu ini sebagai isu kaum dan agama yang saya rasa tidak wajar lagi berlaku dalam negara yang sudah merdeka hampir 60 tahun.

"Saya mengambil sikap di sini bahawa Hannah (Yeoh) sebagai rakyat Malaysia dan penganut kristian,‎ beliau diberi kebebasan di bawah Perlembagaan dan Islam sendiri agama yang meraikan dan memberi hak untuk mana-mana agama untuk diamalkan dengan aman dalam negara kita.

"Adakah dia salah? Kalau ingin menjadikan dirinya seorang Kristian yang baik dan ingin menerangkan nilai-nilai yang baik pada dirinya sebagai wakil rakyat," katanya.

Jelasnya lagi, Hannah Yoeh hanyalah seorang penganut agama Kristian yang mahu beramal kepada agamanya dan mempraktikkan ajaran baik daripada agama yang dianutinya. – Kedahnews.com