ALOR SETAR –Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang dilantik sebagai Exco tidak boleh diberhentikan sewenang-wenang atau dicabut jawatan mereka dengan cara mudah.
PAS mengadakan bai’ah yang diwajibkan kepada setiap calonnya yang bertanding dalam pilihan raya dan setelah mereka menang, ia terus diikat dengan bai’ah, kata Abdul Hadi.
"Inilah jawatan Exco yang dipegang oleh ADUN Selangor yang tidak boleh diberhentikan sewenang-wenangnya," kata Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang dalam kenyataannya pada Harakahdaily yang membawa tajuk Politik Selangor: Jangan Membuli Rakyat, semalam.
Presiden PAS itu menegaskan bahawa Rasulullah SAW melakukan bai’ah apabila melantik jawatan yang penting atau ketika menghadapi sesuatu cabaran besar.
Menurutnya, amalan ini dilakukan di sepanjang zaman oleh kumpulan Islam yang memerintah negara atau tidak memerintah.
Maka setiap khalifah yang dilantik selepas wafat Rasulullah SAW mengadakan bai’ah di hadapan rakyat dan pemimpin utama yang menjadi komponen kepada jamaah.
Kata Abdul Hadi lagi , betapa pentingnya bai’ah ini sehingga Khalifah Uthman bin Affan R.A. yang dipaksa oleh pemberontak dengan menghunus senjata memaksanya supaya meletakkan jawatan.
Bagaimanapun dengan tegas Uthman menjawab: “Jawatan ini adalah pakaian yang dipakaikan oleh Allah kepada saya, maka saya tidak akan mencabut pakaian ini”.
Dalam hal ini, kata beliau, maka berakhirlah dengan Khalifah Uthman R.A. bersedia gugur syahid bersama al-Quran yang dirangkulnya.
Kata Abdul Hadi, bagi PAS terdapat tiga komponen utama dalam menubuhkan kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan negeri iaitu Islam adalah agama negara dan institusi Raja Perpelembagaan wajib dihormati.
Selain itu, rakyat yang mengundi diambil kira, bukan sahaja parti yang bertanding dan calon yang menang dipilih rakyat, sama ada di atas nama diri atau parti, kata Abdul Hadi.
Sehubungan itu beliau mengingatkan agar jangan ada yang bermain politik sesama dalaman parti tanpa memandang kepada segala komponen sistem pemerintahan yang menjadi rukunnya.
Beliau turut mengimbas peritiwa Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat daripada jawatan Menteri Besar Selangor dan “Langkah Kajang” yang salah tidak boleh melompat parit kerana mahukan cita-cita politik ‘mee segera’ yang membebankan rakyat dan Sultan.
“Peristiwa ini (pemecatan MB Selangor dan Pilihan Raya Kecil yang mengejut bagi DUN Kajang) sepatutnya menjadi pengajaran, “ kata Abdul Hadi.
Beliau menegaskan tahaluf siyasi akan terbatal apabila ada pihak sengaja membatalkannya kerana tidak boleh menerima walaupun secara persefahaman disebabkan sikap bermusuh terhadap PAS yang berpegang teguh dengan Islam.
“Inilah pendekatan DAP sendiri kerana menolak konsep negara Islam, menolak syarat mewajibkan kepimpinan negara seorang yang beragama Islam, menentang segala usaha PAS untuk melaksanakan syariat Islam walaupun kepada penganut Islam sahaja dan membelakangkan Institusi Raja kerana mengikut selera politik mereka," kata Abdul Hadi.
Selanjutnya kata beliau, keputusan Majlis Syura Ulama juga memutuskan tahaluf sayasi bersama PKR terbatal apabila syarat perjanjian atau kerjasama dicabuli, sama ada salah laku terhadap hukum syariat dalam pendekatan politik atau melanggar adab kerjasama kerana mengikut kawan politik yang salah disebabkan konsep oportunis mereka.
Difahamkan Abdul Hadi kini terpaksa menjalani rawatan serta telah dimasukkan ke sebuah hospital ekoran masalah kesihatan, dan semua penyokong PAS diminta supaya mendoakan kesihatan beliau kembali pulih. -Kedahnews.com
