SHAH ALAM - Pembekal, orang tengah dan peniaga barangan keperluan harian diingatkan supaya tidak mengambil peluang menaikkan harga sepanjang Ramadan.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, sudah menjadi trend pihak tertentu menaikkan harga barangan mentah sebelum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan Skim Kawalan Harga Perayaan.
“Mungkin mereka mahu dapatkan keuntungan berlipat kali ganda sebelum kerajaan umumkan skim kawalan harga. Ditambah pula dengan permintaan meningkat, jadi mereka ini ambil peluang.
“Sebagai contoh, kalau harga ayam di peringkat pembekal iaitu di ladangnya dinaikkan, ia memberi kesan kepada peniaga yang terpaksa jual dengan harga lebih tinggi berbanding biasa, yang akhirnya turut beri kesan kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, KPDNKK perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak dalam rantaian pembekal bahan mentah yang sengaja menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Saya ada terbaca laporan mengenai penjualan ayam proses yang berbeza-beza harga. Ada yang cakap mereka boleh jual harga murah berbanding lain kerana ternak, proses sendiri dan tidak melalui orang tengah.
“Sebab itulah salah satu pendekatan Kementerian Pertanian dan Asas Tani adalah jihad memerangi orang tengah bagi pesawah, petani dan nelayan. Dengan tiada orang tengah ini, harga barangan juga lebih murah,” katanya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya bertindak bijak membuat pilihan dalam membeli barangan mentah dan makanan sepanjang Ramadan.
“Pilih kedai atau gerai yang menyediakan harga berpatutan. Abaikan kedai yang meletakkan harga tidak munasabah. Dengan cara ini, mereka akan menurunkan harga kepada lebih berpatutan.
“Selain itu, pengguna perlu jadi mata kepada pihak KPDNKK dengan membuat aduan sekiranya ada peniaga yang jual bahan mentah atau makanan yang mengambil keuntungan melampau,” katanya.
Ditanya mengenai kenaikan melampau harga makanan di bazar Ramadan, Mohd Yusof berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
“Perkara ini mungkin disebabkan trend rakyat di negara kita lebih cenderung membeli di bazar berbanding masak di rumah.
"Mungkin sebab faktor kerja dan tidak mempunyai masa, jadi orang kita ini ambil pendekatan makan atau beli di luar.
“Seperti sedia maklum, permintaan tinggi daripada pengguna akan membawa kepada kenaikan kadar harga sesuatu produk. Sebab itu kalau kita perasan, harga air di bazar meningkat hampir setiap tahun. Mungkin tahun lalu RM2 satu plastik, tetapi tahun ini dah jadi RM3, jadi pembeli kena bijak,” katanya.
Sumber : Sinar Online