'Jangan Beli Jika Tak Pamer Sijil Halal'


IPOH – Pengguna Islam di negeri ini dinasihatkan mengelak membeli ayam dari pembekal atau peniaga yang tidak mempamerkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Isu berkenaan tular di laman sosial mengenai sebuah syarikat pembekal ayam di negeri ini didakwa menjual ayam tanpa halal selepas ditarik kerana melanggar prosedur sijil pengesahan halal Malaysia.

Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Manjung, Mohd Mohd Ghani berkata, pihaknya memandang serius perbuatan tidak mematuhi prosedur penggunaan sijil halal.

Menurutnya, semua pembekal, peniaga dan peruncit beragama Islam yang mengambil dan membeli dari pembekal berkenaan perlu dihentikan serta merta sehingga Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) mengembalikan sijil halal.

“Kita akan mengeluarkan pekeliling kepada semua ahli gabungan supaya memboikot syarikat berkenaan sehingga syarikat itu mendapatkan semula sijil halal.

“Syarikat itu sepatutnya tidak mengambil mudah dalam soal ini kerana rata-rata pengguna di Manjung dan Seri Iskandar terdiri daripada peniaga-peniaga kecil, peruncit dan restoran yang diusahakan oleh orang Islam,” katanya.

 Beliau berkata, Jaipk perlu menguar-uarkan pembatalan sijil tersebut supaya orang ramai lebih berhati-hati pada masa sama memastikan syarikat itu mematuhi semua syarat pengeluaran sijil sebelum diberi semula kepada mereka.

Tegasnya, syarikat itu perlu digantung dalam tempoh lebih panjang sebagai pengajaran kepada mereka  yang tidak menghormati sensitiviti pengguna Islam sebelum dikeluarkan pengesahan sijil halal baharu.

Mohd meminta Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Jabatan Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau syarikat berkenaan terutama pada Ramadan dan perayaan Aidilfitri.  

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Perak, Datuk Zahar Hashim berkata, isu ini sudah lama menjadi perbincangan pihaknya bagaimanapun pemantauan berkala daripada pihak berkenaan dilihat mampu mengatasi masalah yang membelenggu orang Islam.

Jelasnya, bukan sahaja pembekal ayam malah kedai makanan bukan Islam yang diberi sijil halal juga perlu dipantau dari semasa ke semasa kerana tidak mahu sijil itu dimanipulasikan.

“Pihak berkenaan boleh membuat pemantauan berkala dan mencatatkannya di dalam buku log atau kad yang disediakan kedai tersebut supaya pelanggan Islam yang ingin ke kedai itu tahu perkembangan tentang sijil halalnya,” katanya.

Sumber : Sinar Online