BUKIT MERTAJAM - Tiga lelaki termasuk pengasas sindiket pelaburan JJ Poor To Rich(JJPTR) yang disiasat berhubung kes penipuan skim pelaburan Selasa lalu, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar membenarkan ketiga-tiga suspek dibebaskan dengan jaminan polis.
Peguam yang mewakili suspek, G Jaya Prem ketika ditemui, berkata pihaknya memohon mahkamah menolak permohonan reman terhadap anak guamnya memandangkan suspek sudah direman selama enam hari sebelum ini di Mahkamah Klang dan memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang berbaju lokap dengan tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, kira-kira jam 11 pagi tadi dengan kereta polis.
Pada 12 Mei lalu, polis menyerbu lapan lokasi sekitar negeri ini dan menahan seramai 16 wanita dan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 40 tahun dipercayai ahli sindiket serta pelabur skim berkenaan.
Sindiket itu dipercayai menawarkan skim pelaburan didakwa berasaskan perniagaan pertukaran mata wang asing dan sehingga kini sudah mengaut keuntungan lebih RM1.7 bilion hasil wang dilaburkan mangsa.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menahan ketiga-tiga suspek termasuk pengasas, pembantu peribadi dan orang kanannya berhampiran Balai Polis Petaling Jaya dekat sini, pada 17 Mei lalu.
Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dipetik sebagai berkata, kira-kira 400,000 individu dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan kontroversi itu.
Beliau berkata, mangsa terdiri daripada kira-kira 300,000 warga tempatan manakala selebihnya warga asing. Katanya berdasarkan siasatan awal, jumlah pelaburan paling rendah dibuat pelabur adalah RM4,500 dan ada mangsa yang sanggup melabur sehingga RM100,000.
Sumber : BH Online