Jumpa Mayat Lelaki Depan Kedai Serbaneka

Image result for Jumpa Mayat Lelaki Depan Kedai Serbaneka

KUALA LUMPUR - Satu mayat ditemui di hadapan kedai serbaneka, Jalan Pudu Ulu, dekat sini, dengan kesan kecederaan di lengan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, pihaknya menerima panggilan Mers 999 daripada orang awam kira-kira jam 7.35 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian dapati mayat seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dalam keadaan terlentang di hadapan kedai serbaneka di sebuah kondominium di situ.

“Pemeriksaan dapati terdapat kecederaan di lengan tangan kanan mangsa.

“Selain itu, terdapat kesan darah di kawasan tempat mayat ditemui dalam jarak kira-kira 18 meter,” katanya.

Beliau berkata, beberapa saksi di tempat kejadian beritahu mangsa bukan penduduk atau penyewa di kondominium tersebut.

Katanya, berdasarkan maklumat saksi, pada hari kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, mangsa dilihat dalam keadaan terbaring, muntah dan berada dalam keadaan tidak stabil dipercayai mabuk di bahagian lobi.

“Kemudian, saksi cuba untuk mententeramkan mangsa tapi tidak berjaya. Mangsa terus berjalan dalam keadaan tidak stabil sampai ke depan sebuah kedai telefon bimbit yang terletak tidak jauh dari lobi kondominium itu.

“Saksi telah melihat mangsa bertindak menumbuk cermin kedai tersebut dengan tangan sehingga pecah sebelum mangsa jatuh ke lantai. Mangsa bagaimanapun sempat merangkak hingga ke depan kedai serbaneka dan terus tidak sedarkan diri,” katanya.

Tambahnya, bedah siasat akan dilakukan hari ini untuk kenal pasti punca kematian mangsa.

Sumber: Sinar Harian