ALOR SETAR - Jurulatih bolasepak Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim meramalkan Kedah bakal menjulang Piala FA apabila menentang Pahang pada final piala itu, Sabtu depan.
“Melihatkan permainan Kedah, saya rasa mereka akan muncul sebagai juara. Saya ucapkan tahniah, mereka (Kedah) berhak menang malam ini,” kata Irfan.
Jurulatih bolasepak Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim |
“Kita membiarkan dua, tiga pemain lawan menguasai bola di posisi tengah. Kita juga tiada penjaring utama,” kata Irfan ketika mengulas kekalahan pasukannya 3-0 pada Kedah, semalam.
Menurut Irfan lagi, gol kedua jaringan pemain import pelawat sebenarnya telah ‘membunuh’ rentak permainan Terengganu.
Sementara itu, jurulatih Kedah, Nidzam Adha Yusoff memberitahu, tindakannya merehatkan beberapa pemain utama semasa perlawanan Liga Super menentang PKNS sebelumnya, membolehkan tumpuan diberikan kepada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA.
“Kesebelasan pemain menunjukkan persembahan dengan baik” kata Nizam yang mengambil tugas jurulatih utama selepas ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe yang kini dilantik penolong jurulatih skuad kebangsaan.
Mengenai perlawanan akhir minggu depan, Nidzam membayangkan pasukannya akan merancang sesuatu untuk memerangkap lawannya memandangkan Kedah mempunyai rekod yang baik semasa bertemu skuad Tok Gajah di peringkat liga musim ini
Kedah melangkah ke final Piala FA selepas mengatasi Terengganu dengan agregat 4-0.
Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darulaman , Kedah hanya menang tipis 1-0.
Sementara Pahang yang kini mendudukti tempat kedua Liga Super pula menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tunku Abdul Rahman di Paroi, Seremban. (Pahang layak ke final dengan agregat 3-1 selepas menang 1-0 di Kuantan pada perlawanan separuh akhir pertama).
Gol Lang Merah malam tadi diledakkan oleh trio importnya, Liridon Krasniqi, Ken Ilso pada separuh masa pertama sementara Sandro Mendonca menambah derita tuan rumah dengan jaringan di awal permainan separuh masa kedua.
Kedah menjuarai Piala FA kali terakhir pada 2008 dan perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam 20 Mei ini adalah kali keempat bagi juara Piala Malaysia 2016. - Kedahnews.com