Kajian PPBM Tidak Mampu Mempengaruhi PAS - Dewan Ulama


ALOR SETAR- Kajian yang dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa PAS kini lebih popular daripada parti-parti lain negara ini tidak dapat mempengaruhi  rakyat, terutama ahli dan penyokong PAS.

“Ahli-ahli PAS tidak teruja dengan data kajian PBBM yang menunjukkan PAS adalah parti yang lebih popular berbanding parti lain, “ kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali at-Takiri dalam akaun Facebooknya hari ini.

Selain itu, menurut beliau, data  kajian yang berasaskan tinjauan awam boleh terdedah kepada manipulasi.

Apa yang pasti, kata Dr. Khairuddin, PAS sedang membina imej sebagai parti negarawan yang berkhidmat untuk rakyat dengan pendirian dan prinsip tegas dalam pelbagai isu negara berasaskan Islam.

PAS sedang menjadikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sebagai satu pendekatan yang akan membawa parti melangkah jauh bagi mempromosi diri sebagai parti pemerintah.

Kajian yang dijalankan oleh beberapa anggota pengasas PPBM mendapati PAS menjadi parti paling popular pada pertengahan tahun lepas, malah mengatasi populariti Barisan Nasional.

Kaji selidik ke atas 3,000 responden itu mendapati 44.4 peratus menyatakan sokongan kepada PAS, berbanding 36.2 peratus kepada BN dan 25.9 peratus terhadap PKR.

Bagaimanapun, kajian itu juga 'menemui' pemimpin yang mengetuai PPBM menjadi pilihan utama bagi jawatan Perdana Menteri.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih digemari untuk jawatan Perdana Menteri dengan sokongan 37.3 peratus daripada responden, diikuti Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir  Mohamad (35.9 peratus) dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (34.3 peratus) .

Paling menyedihkan, kajian PPBM itu meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tangga keenam paling popular dengan 27.0 peratus sokongan.

Namun kajian yang dilihat "berat sebelah" itu dan cuba mengangkat PAS,  tidak juga dapat mempengaruhi parti berkenaan untuk  bekerjasama dengan PPBM.

Difahamkan bahawa kajian berkenaan yang dijalankan oleh Biro Polisi dan Strategi hanya melibatkan kira-kira 3,000 responden sahaja berbanding jumlah jutaan pengundi dan puluhan juta rakyat di negara ini. - Kedahnews.com