Kajian Rafizi Senaraikan Calon PM Popular Pembangkang Hanya Syok Sendiri - Tun M


PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan pengutan suara yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli mengenai senarai calon paling popular untuk  jawatan Perdana Menteri daripada pakatan pembangkang sekadar 'kajian syok sendiri'.

Kajian Invoke Malaysia yang diketuai ahli Parlimen Pandan daripada PKR itu meletakkan Dr. Mahathir di tangga ketiga popular dengan undian 16.5 peratus. 

Kedudukan Dr. Mahathir itu berada di bawah populariti Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masing-masing berada di tangga pertama dan kedua. 

Nama Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula tidak tersenarai sebagai calon popular dalam kajian tersebut walaupun beliau turut 'dibayangkan' bakal dilantik menduduki kerusi Perdana Menteri sebelum ini. 

Namun begitu Tan Sri Muhyiddin turut menjadi pilihan keempat walaupun beliau merupakan Presiden PPBM.

Ini bermakna terdapat dua calon bakal Perdana Menteri datang daripada parti yang diasaskan oleh Dr. Mahathir itu.

Presiden PAN, Mohamad Sabu yang turut dicadangkan oleh Timbalan Presiden parti itu Sallahudin Ayub tidak juga tersenarai sebagai calon popular dalam kajian Rafizi itu.

Dr Mahathir berkata senarai calon Perdana Menteri paling popular seperti yang diumumkan Rafizi tidak membawa apa-apa makna sekiranya pembangkang tidak menang pilihan raya akan datang.

“Kalau tak menang, sesiapa pun tak boleh jadi PM. Yang utama, menang. Kalau nak jadi calon, siapa pun boleh jadi,” katanya selepas satu program ceramah politik di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam.

 Dr Mahathir berpendapat kajian seumpama itu lebih sesuai selepas Pakatan memenangi pilihan raya.
"Bila menang boleh buatlah. Kalau tak menang, bubuh nama, itu syok sendiri,” katanya kepada wartawan.

Sebelum ini, Dr.Mahathir juga membayangkan nama Muhyiddin sebagai salah seorang calon Perdana Menteri namun dibantah oleh DAP dan PKR yang tetap dengan pendirian mahukan Anwar diangkat  mengetuai kabinet.jika pakatan menang.

 Mukhriz pula baru-baru ini bersetuju agar nama calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan itu diumum sebelum PRU14.  Beliau juga menegaskan bukan hak PKR untuk menentukan siapa yang harus memegang jawatan itu tetapi perlu diserahkan kepada PH.

Tulang belakang  PH pula sudah tentu DAP kerana parti itu menguasai paling banyak kerusi dalam Dewan Rakyat bebanding PKR, PAN ada enam kerusi itu pun setelah tinggalkan PAS manakala PPBM hanya satu kerusi yang asalnha milik BN. 

Sebelum ini, perselisihan tercetus antara PKR dan pemimpin pembangkang lain selepas perwakilan PKR membuat gimik sepanduk tertera “Anwar PM ke-7”, pada kongres parti yang dihadiri Dr Mahathir dan pemimpin PPBM lain.

Dalam wawancara eksklusif bersama FMT baru-baru ini, Dr Mahathir berkata sebarang rancangan melantik Perdana Menteri perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

Bagaimanapun ramai yang mempersoalkan, adakah usaha menggulingkan Perdana Menteri dan kerajaan yang dipilih  rakyat secara demokratik juga dianggap sebagai tidak mematuhi kedaulatan undang-undang. -Kedahnews.com