GARA-gara mengenakan pakaian tradisional, sekumpulan penari kebudayaan yang mahu merakam gambar kenang-kenangan di taman KLCC telah dihalau oleh pengurusan bangunan berkenaan.
Insiden diskriminasi itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Abam Supir, dipercayai pemandu teksi yang bertanggungjawab membawa kumpulan berkenaan untuk mengunjungi lokasi ikonik itu.
Menurutnya, kumpulan kebudayaan itu dilarang bergambar di taman berkenaan oleh pengurusan Suria KLCC dengan alasan tidak memakai pakaian yang sesuai.
“Mereka dihalau, seolah-olah memakai pakaian kebudayaan tersebut satu kesalahan. Bila ada pelancong yang mahu bergambar dengan mereka juga tidak dibenar.
“Yang lebih menguris perasaan apabila pihak berkenaan melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya, ‘nak amek (ambil) gambar sini, pergi balik hotel tukar baju dulu,” demikian menurutnya dalam kemaskini di laman Facebook.
Lantas membuatkan dia mempersoalkan garis panduan yang ditetapkan pihak pengurusan Suria KLCC kepada orang awam sekiranya mahu bergambar di kawasan tersebut.
“Apa kebodohan garis panduan pengurusan yang diguna pakai pun tak tahu. Mereka cuma singgah bergambar di taman (dan) kolam sahaja.
“Diulang hanya bergambar di taman atau di kolam sahaja, bukan nak buat persembahan. Bukan ambil gambar di dalam bangunan Petronas pun tetapi dihalau seperti kucing kurap,” luahnya kesal.
Rata-rata netizen turut mempersoalkan apakah wajar tindakan pihak berkenaan, sedangkan taman di KLCC adalah tempat awam dan sering dijadikan lokasi pilihan untuk pengantin merakam hari bahagian mereka.
“Taman KLCC adalah open for public dan sememangnya ada yang berpakaian beragama untuk mengambil gambar termasuklah mereka yang baru menjadi ‘Raja Sehari’.
“Cuma saya ingin bertanya, apa pula dress code untuk mengambil gambar di kawasan KLCC, sekiranya ada?” soal Haslina Bujang. –Kedahnews.com