"Kami Sedia Pindah Jika Diberi Pampasan, Lokasi Baru Sebagai Ganti"


ALOR SETAR - Penduduk Kampung Baru, Jalan Kampung Masjid, Pekan Kuala Nerang merayu agar kerajaan negeri prihatin dengan nasib menimpa 18 buah keluarga yang menerima notis mengosongkan premis, dari Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap untuk operasi penguatkuasaan, Isnin depan.

Difahamkan, 16 keluarga Cina dan dua keluarga Melayu dengan isi rumah sekitar 90 orang itu menerima surat pemakluman pada 16 Mei lalu.

Wakil penduduk, Ong Keen Tong, 52, berkata, beberapa perbincangan sudah dilakukan antara penduduk dengan Pegawai Daerah Padang Terap sejak beberapa tahun lalu, namun isu masih berlarutan dan tiada keputusan dicapai.

“Kami harap sangat tak roboh rumah/kedai yang kami duduk sejak 60 tahun, jika terpaksa kami sedia pindah asalkan diberikan pampasan atau lokasi baru sebagai ganti. Masa sudah suntuk, kami buntu sebab diarah keluar rumah pada Isnin depan,” katanya.

Menurutnya, mereka merupakan penduduk yang dipindahkan ke kawasan itu ketika proses pemutihan zaman British dan membuka perkampungan baru atas tanak milik kerajaan berstatus Sijil Tumpang Sementara (TOL).

“Kami terima notis pada 9 November 2016, pada 30 November kami jumpa Pegawai Daerah Padang Terap bincang dan dalam perjumpaan itu, kami ditawarkan penyelesaian sama ada pindah ke lokasi baharu atau pampasan, namun tiada maklum balas selepas itu,” katanya.

Keen Tong berkata, pihaknya menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 6 Mac 2017, termasuk kepada Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Mahdzir Khalid dan Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim.

“Kami juga ada jumpa menteri besar bulan lepas, katanya isu itu akan diteliti namun masih tiada maklum balas sehinggalah notis kosongkan rumah sampai,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan negeri mengambil tindakan yang berperikemanusiaan dan berbincang untuk capai persefahaman.

“Kami bukan bantah pembangunan, kami sanggup pindah asalkan ada tempat ganti atau pampasan untuk mulakan kehidupan baharu di tempat lain. Kami harap sangat bincang dengan kami selesaikan segera,” katanya.

Keen Tong berkata, sebelum ini ada cadangan agar penduduk dipindahkan ke kawasan Bukit Bethel, namun dibatalkan akibat tanah terbabit berstatus rezab Melayu.

Difahamkan pembangunan yang akan dilakukan di kawasan berkenaan adalah untuk membina gerai dan pembesaran masjid berdekatan.

Sementara, Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, pihaknya telah menghantar surat rayuan kepada Ahmad Bashah pada 18 Mei lalu, mohon ditangguhkan operasi meroboh selain mengadakan perbincangan semula bersama penduduk.

“Mohon pertimbangan agar perkara itu diberi perhatian semula, penduduk terlibat menetap sejak 60 tahun, mereka bukan menceroboh tanah itu. Mereka harap dapat ditempatkan semula di lokasi baharu selepas rumah dirobohkan,” katanya.

Menurutnya, penduduk sudah lama menunggu jawapan daripada pihak berwajib, dan isu ini hendaklah diselesaikan segera agar tidak menyusahkan mana-mana pihak.

“Seeloknya tangguh operasi roboh rumah sehingga capai satu persetujuan antara dua pihak,” katanya.

Tangguh operasi roboh hampir 10 tahun

Penduduk perlu akur kerana tapak diduduki adalah milik kerajaan, bukan hak milik penduduk.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, notis makluman untuk mengosongkan premis diserahkan kepada penduduk terlibat sejak beberapa tahun lalu, namun tiada tindakan diambil kerana kerajaan mengamalkan sikap bertolak ansur.

“Sudah lama penduduk dibenarkan tinggal di situ atas ehsan kerajaan, mereka bina rumah kayu dan usianya sudah lama dan sebahagian usang. Sudah sampai masanya kerajaan bangunkan tapak itu,” katanya.

Menurutnya, penduduk harus faham status tapak berkenaan adalah tanah milik kerajaan yang membenarkan ia diambil untuk projek pembangunan.

“Hampir 10 tahun kita tangguh operasi roboh kerana bagi peluang mereka cari tempat baharu tetapi penduduk masih enggan pindah, sehingga kita perlu bertegas dengan keluarkan notis kosongkan premis Mei lalu,” katanya.

Badrol Hisham yang juga Adun Kuala Nerang berkata, sudah lama kerajaan bertolak ansur dan menunda operasi roboh menyebabkan pihaknya tidak boleh lagi berkompromi.

“Kelulusan bina masjid baharu di lokasi itu sudah diluluskan dan hanya tunggu isu tapak selesai. Surat notis juga sudah banyak kali diberikan, apabila isu tapak belum selesai, isu bina masjid baharu juga tertangguh,” katanya.

Menurutnya, pembangunan membina masjid atas tapak berkenaan akan diteruskan memandangkan lokasinya di tengah pekan Kuala Nerang, dan ia dipertimbangkan mengikut kepentingan dan keperluan.

“Kariah masjid sudah lama mohon bina masjid baharu, kerana masjid sedia ada bocor dan uzur serta tidak dapat tampung jemaah. Rungutan jemaah juga perlu diambil kira yang sudah lama tunggu  masjid lebih besar didirikan,” katanya.

Sumber : Sinar Online