KULIM - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang menderita kanser tulang memerlukan sumbangan bagi membantunya menanggung kos perubatan.
Lakchana Ashok disahkan menghidap kanser tulang sejak 2016 ketika berusia empat tahun.
Ibunya, Kalisevi Madavan, 27, berkata, anaknya itu kini terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain perlu bergantung kepada ubat setiap hari.
Menurutnya, setiap enam bulan sekali anaknya terpaksa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan manakala empat bulan sekali ke Hospital Pulau Pinang.
"Dulu dia aktif tapi sekarang dah lemah. Dia tak mampu buat apa-apa dan bergerak bebas seperti budak lain sebaya dia.
"Dia juga perlu makan dua biji ubat yang hospital bagi setiap hari. Sedih saya tengok anak macam itu," katanya.
Kalisevan berkata, mereka sekeluarga hanya bergantung kepada sumber pendapatan suami sebagai pemandu lori dengan RM1,200 sebulan untuk menanggung segala kos rawatan dan keperluan harian.
"Saya terpaksa duduk rumah jaga anak. Kami juga tinggal dengan nenek tapi dia dah uzur sebab ada kencing manis dan darah tinggi. Dia juga terpaksa ke hospital selalu untuk dapatkan rawatan.
"Dua anak saudara yang masih kecil dan bersekolah juga tinggal dengan kami," katanya.
Selain itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali sempat melawat keluarga tersebut di rumah mereka dekat Taman Angsana, Kulim dan memberi bantuan segera sebanyak RM300.
“Kita telah melawat keluarga terbabit dan melihat mereka memang memerlukan bantuan bulanan dan sumbangan orang ramai untuk ringankan beban.
“JKM telah beri bantuan segera RM300 dan meluluskan elaun bantuan am bulanan sebanyak RM300 setiap bulan bermula Julai ini, diharap ia sedikit sebanyak dapat bantu ringankan perbelanjaan mereka sekeluarga,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank 7061395472 atas nama Kalisevi Madavan atau hubungi 011-2194 5452.
Sumber: Sinar Harian