Budak perempuan berusia 5 tahun, Zarif Hamani Ryzal ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika bermain basikal di Jalan Sanglang, Batu 3, Kodiang jam 7.30 malam semalam.
Difahamkan sebelum kejadian mangsa menunggang basikal seorang diri kira-kira 50 meter dari rumahnya namun hilang kawalan dan terjatuh.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Adnan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.51 malam dan tiba di lokasi kejadian jam 8.21 malam.
Beliau berkata, setibanya di lokasi mendapati mangsa sudah ditemui orang awam yang sempat memberi bantuan pernafasan dan menghantarnya ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
"Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai bermain basikal di ban sungai hadapan rumahnya tetapi gagal mengawal basikal itu sebelum dia terjatuh ke dalam sungai berkenaan," katanya.
Menurutnya, ketika itu, keluarga dan penduduk kampung cuba mencarinya dan menemuinya kira-kira 30 minit kemudian tidak jauh dari kawasan dia dilaporkan terjatuh.
"Lokasi sungai itu terletak dari Sanglang ke Kodiang berhampiran kilang beras ," katanya ketika dihubungi hari ini.
Adnan berkata, operasi itu turut membabitkan sembilan anggota bersama sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Jitra.
Sumber : MyMetro