Karnival Syoknya Bawa Kelainan, Istimewa Untuk Orang Kedah


ALOR SETAR - Kemeriahan akan mula bersemarak di utara Semenanjung apabila buat julung-julung kalinya setiap rakyat di negeri Kedah akan berpeluang mengharungi cabaran "Istana Takeshi" dan bersantai memandu "Kereta Beca LED" bersama keluarga tersayang.

Bertemakan "Berhibur sambil Beramal", Karnival Syoknya yang bertempat di perkarangan Stadium Darulaman bakal menjadi lokasi tumpuan kira-kira 50,000 pengunjung selama empat hari bermula pada 18 Mei hingga 21 Mei ini.

Menghangatkan suasana, dianggarkan sebanyak 20 unit "Food Truck" tersohor akan berkonvoi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) bersama gerombolan 100 buah motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson Biker, pada 17 Mei ini menuju ke perkarangan stadium.

"Pada hari pembukaan, 18 Mei, Yang Teramat Mulia Tengku Temenggung Kedah, Tuanku Puteri Intan Shafinaz akan hadir menyempurnakan 'flag off' cabaran Istana Takeshi yang kita bawa khas ke Kedah, bersama anak-anak yatim Yayasan Sultana Bahiyah.

"Pada hari yang sama juga, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan merasmikan 'flag off' Muafakat Gen-Y yang akan disertai lebih 1,000 pelajar IPTA dan IPTS. Seterusnya, beliau akan melawat karnival kita dan 'flag off' Perarakan Kereta Mewah.

"Hari pertama itu karnival pun kita sudah menjanjikan 'syoknya' kepada para pengunjung," kata Pengarah Urusan Infografik Design Consultants, Nisah Abdul Karim, kepada Kedahnews.com dalam sidang media yang diadakan di sini, petang semalam.


Jelas Nisah, tarikan utama Karnival Syoknya adalah cabaran "Istana Takeshi" yang merupakan cabaran terpanjang seumpamanya di Asia Tenggara dan tercatat di dalam The Malaysia Book Of Records".

Kata beliau, rekod bagi cabaran tersebut adalah 20 minit dan rakyat di negeri ini berpeluang untuk memecah rekod berkenaan, selain mencabar kemampuan diri sambil berhibur bersama keluarga atau rakan-rakan.

"Asalnya tiket untuk mencuba cabaran ini berharga RM53. Tapi kami usaha mencari jalan mengurangkan harga tiket berkenaan kerana karnival ini berkonsepkan karnival amal.

"Akhirnya, kami berjaya juga turunkan harga tiket dewasa berharga RM25 dan kanak-kanak pada harga RM12 sahaja," jelas beliau kepada media.

Selain itu, para pengunjung Karnival Syoknya juga berpeluang untuk bersantai memandu "Kereta Beca LED" yang buat pertama kalinya dibawa ke negeri Jelapang Padi ini.

"Ia berbentuk kereta dan dihias cantik dengan lampu-lampu LED. Pengunjung boleh kayuh kereta beca LED itu di sekitar karnival ini nanti bersama keluarga. Ia juga pertama kali dibawa ke Kedah, belum pernah datang lagi ke sini," katanya lagi.


Nisah berkata, pelbagai acara lain turut diadakan seperti acara ramah mesra dengan skuad Helang Merah, persembahan 4X4W Red Peak Challenge bersama Mitsubishi, mini "drift" oleh Autoworks Perfomance, festival Food Truck, pameran motosikal berkuasa tinggi dan pertandingan untuk pelbagai peringkat umur.

Malah katanya, Karnival Syoknya juga akan memaparkan siaran langsung perlawanan akhir Piala FA menyaksikan pertembungan skuad Helang Merah bertemu skuad Tok Gajah di Shah Alam yang dijangka berlangsung pada 20 Mei nanti.

"Kita juga menyediakan gerai-gerai pameran dan jualan yang sangat sesuai menjadi 'one stop centre' untuk para pengunjung membeli-belah sempena Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Semua ada di situ nanti, tak perlu ke tempat lain. Saya difahamkan, mereka akan buat 'sales' besar-besaran di karnival kita nanti," ujar beliau.

Karnival tersebut juga bakal dihiasi dengan program keilmuan, Forum "Istiqbal" Ramadhan, yang membawa dua panel terkemuka, Dr Ahmad Bashir Aziz dan Ustazah Che Nazrah Yusuff pada jam 9 malam, 21 Mei nanti.

Karnival empat hari anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan Infografik Design Consultants itu akan dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dan dianjurkan bagi tujuan amal selain membawa kelainan berbanding anjuran karnival sebelumnya.

Untuk keterangan lanjut mengenai karnival terbabit, bolehlah menghubungi talian 04-7339630 atau 016-4463669. - Kedahnews.com