Kastam Kedah Rampas Dadah Bernilai RM18 Juta


BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah yang cuba menyeludup pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai RM18.33 juta di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS), di sini Selasa lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zulkifli Yahya berkata, dadah tersebut dirampas pada jam 9.15 pagi selepas pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun untuk pemeriksaan di CIQ tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pegawai kastam mendapati dalam but kereta berkenaan ditutup dengan papan lapis seolah-olah kotak pembesar suara yang telah diubah suai.

"Pada masa sama, pegawai kastam yang melakukan pemeriksaan turut terlihat sesuatu objek yang mencurigakan melalui lubang kotak pembesar suara itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemui sejumlah ketulan yang disyaki dadah jenis herion seberat kira-kira 154 kilogram dalam kotak berkenaan.

"Terdapat juga sejumlah bungkusan dadah jenis methamphetamine seberat 38 kilogram dan sejumlah bungkusan dadah jenis ketamine seberat enam kilogram," katanya pada sidang akhbar di CIQ, hari ini.

Zulkifli berkata, susulan itu, pemandu kereta yang merupakan rakyat tempatan dan tidak bekerja itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat terhadap pemandu tersebut, kita turut menahan seorang lagi warga tempatan berusia 36 tahun di Alor Setar yang dipercayai anggota sindiket penyeludupan yang sama.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua mereka juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 5 Jun depan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman sampai mati," katanya.

Menurutnya, rampasan dadah berkenaan merupakan kejayaan terbesar JKDM negeri pada tahun ini dan pihaknya sentiasa mengawal ketat pintu masuk sempadan agar mereka yang terlibat dengan kegiatan ini tidak terlepas daripada penguatkuasaan.

Sumber : Sinar Online