Kastam Patahkan Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM18.33 Juta Di Bukit Kayu Hitam


KUBANG PASU - Cubaan untuk menyeludup dadah seberat 198 kilogram yang dianggarkan bernilai RM18.33 juta berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bukit Kayu Hitam, dekat sini.

Dadah yang disyaki dibawa daripada negara jiran itu adalah yang terbesar dirampas di negeri ini tahun ini, kata Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkifli Yahya.

Bercakap pada sidang akhbar di CIQ Bukit Kayu Hitam hari ini, beliau memberitahu, rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 9.15 Selasa lalu selepas anggota penguat kuasa kastam menahan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

"Semasa pemeriksaan dilakukan di bahagian tempat menyimpan barang, anggota kastam mengesyaki ada benda yang disembnyikan  di bawah lapisan papan lapis yang diubahsuai seperti kotak pembesar suara, " kata Zulkifli.

Menurut beliau, setetelah membuat pemerisaan teliti, kastam mengesan kedudukan semua dadah yang disembunyikan itu dan antara yang ditemui  sejumlah 154 kilogram ketulan heroin dan  38 kilogram methamphetamin yang dibungkus secara berasingan.

"Kami juga menemui dadah jenis ketamin seberat enam kilogram dalam bungkusan plastik hitam dan sekali menahan pemandu kereta tersebut serta seorang lagi lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah berusia 36 tahun di Alor Setar pada hari yang sama, kata Zulkifli lagi. 

Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 5 Jun depan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan  jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung. -Kedahnews.com

.