Mohd Sukri memeriksa rokok yang dijual kepada pengguna yang masih belum diluluskan kastam dekat satu serbuan di Tikam Batu, pagi semalam. |
SUNGAI PETANI - Pejabat Kastam Sungai Petani merampas 800 karton rokok seludup dengan nilai rampasan dianggarkan RM12,000 di sebuah mini market dekat Pekan Tikam Batu lebih kurang jam 11 pagi semalam.
Serbuan dilakukan atas risikan yang dilakukan anggota selama beberapa hari oleh enam anggota yang diketuai Ketua Cawangan Penguatkuasaan, Azwar Muhammad.
Ketua Kastam Daerah Sungai Petani, Mohd Sukri Jusoh hadir ke lokasi serbuan sebelum membuat pemeriksaan ke atas barangan rampasan yang dipercayai telah dijual pemilik kedai kepada pengguna sejak setahun lalu.
Katanya, seorang lelaki dipercayai pemilik berusia 30-an dan seorang lagi pembantu kedai dibawa ke pejabat untuk siasatan selanjutnya.
Kesalahan dikesan adalah mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan yang belum diluluskan pihak kastam.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minima 10 kali ganda nilai barang rampasan dan maksima 20 kali ganda nilai barang rampasan atau dijatuhi hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Sinar Harian