KD Perdana: PM Arah Semua Aset Digerakkan Dalam Operasi SAR


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua aset kerajaan yang diperlukan supaya dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan anak kapal KD Perdana milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilaporkan terputus hubungan Sabtu lepas.

Perdana menteri turut mahu operasi SAR itu diperluaskan dan ditingkatkan.

“Saya doakan agar sembilan anak kapal KD Perdana yang terputus hubungan…di perairan Johor dijumpai segera dalam keadaan sihat dan selamat,” kata Najib dalam catatan di laman Facebook dan Twitter.

Beliau turut berterima kasih kepada nelayan yang turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat itu.

TLDM dalam satu kenyataan semalam berkata kapal KD Perdana telah terputus hubungan dengan bot kapal yang membawa Tim Menggeledah ketika mengusir bot nelayan asing di perairan Sedili, Sabtu lepas.

Menurut kenyataan itu, bot berkenaan diketuai seorang pegawai dan lapan anggota yang melaksanakan rutin rondaan maritim di kawasan perairan negara. – BERNAMA