KDN Patut Gantung The Star Tiga Bulan - Abdullah Hasnan


ALOR SETAR - Kesilapan pihak  editorial  akhbar Inggeris The Star 'memadankan' gambar umat Islam mengerjakan solat sunat tarawih dan tajuk muka depan  'Malaysia Terrorist Leader' terus mengundang kemarahan  umat Islam dan pemimpin politik.

Mereka menyifatkan The Star tidak mempelajari kesilapan yang dilakukan oleh akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau baru-baru ini.

Ini bukan pertama kali ahkbar The Star cuba memainkan sentimen agama  terhadap umat Islam di Malaysia.

Walaupun ketua pengarang The Star segera memohon maaf atas kesilapan itu, mereka mahu tindakan tegas diambil kerajaan terutama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap akhbar itu.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin berkata, kesilapan akhbar itu  tidak boleh dimaafkan lagi kerana tajuk dan gambar muka depan  The Star itu seperti sengaja dilakukan apatah lama ketika umat Islam menyambut hari pertama puasa.

Beliau mencadangkan permit akhbar itu digantung selam tiga bulan sebagai pengajaran kepada media yang tidak sensitif dan sengaja mahu memainkan sensitiviti agama di kalangan umat Islam.

"Perbuatan  ini amat merbahaya kerana boleh menyalakan api kemarahan dan mencetus perbalahan agama di kalangan rakyat negara ini,"  kata Abdullah Hasnan ketika dihubungi Kedahnews.com. 

Semalam, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata pihaknya kecewa dengan akhbar tersebut yang secara sambil lewa memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis 'Malaysia Terrorist Leader'.

Berikutan kemarahan ramai, akhbar tersebut  membuat permohonan maaf  sepertimana yang disiarkan  dalam laman sesawangnya:

"Adalah menjadi amalan The Star untuk menghormati hari pertama Ramadan setiap tahun dengan meletakkan gambar umat Islam mengerjakan solat terawih di muka hadapan. Amalan ini telah dilakukan sedekad lalu.

"Tahun ini, terdapat satu kebetulan yang malang apabila tajuk utama berkaitan pemimpin pengganas dan ramai yang mengaitkan tajuk tersebut dengan gambar umat Islam sedang bersembahyang, yang tidak langsung menjadi niat akhbar ini." katanya. - Kedahnews.com