Keadaan Hayden 'Amat Kritikal'


ROM - Bekas juara dunia MotoGP, Nicky Hayden mengalami kecederaan otak serius dan kini berada dalam keadaan 'amat kritikal' susulan kemalangan ngeri yang menimpanya ketika sedang menjalani latihan menggunakan basikal. 

Penunggang Amerika Syarikat berusia 35 tahun itu dilanggar sebuah kereta ketika menjalani latihan di sebuah resort di Remini sebelum dikejarkan ke hospital ekoran kecederaan di bahagian dada dan kepala. 

"Keadaan Nicky Hayden masih lagi kritikal," menurut satu kenyataan daripada Hospital Maurizio Bufalini. 

"Dia masih lagi dalam unit rawatan rapi hospital ekoran masalah polytrauma (kecederaan yang mengakibatkan trauma) dan kerosakan cerebral (bahagian otak) yang agak serius." 

Hayden yang dikenali sebagai 'Kentucky Kid' memenangi kejuaraan MotoGP pada 2006 sebelum berhijrah ke saingan Kejohanan Superbike Dunia pada tahun 2016. 

Pasukan Honda yang diwakilinya menegaskan tunangnya Jackie turut berada di sisinya bersama abang, Tommy dan emak, Rose yang tiba di Itali dari Amerika Syarikat. 

Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi yang kini dalam persiapan Grand Prix Perancis turut tampil melawat Hayden. 

"Nicky salah seorang daripada rakan karib saya di paddock," kata Rossi yang tewas kepada Hayden pada 2006 hanya dengan jurang lima mata. 

Kedua-dua penunggang itu pernah berada dalam satu pasukan ketika menyertai pasukan Ducati. 

Sumber : AFP