ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah akan mengadakan mesyuarat bersama anggota jawatankuasa infrastruktur dan telekomunikasi dan jalur lebar negeri bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kes mencuri kabel telekomunikasi yang semakin berleluasa.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata mesyuarat yang akan dihadiri anggota jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa syarikat telekomunikasi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan negeri akan diadakan di Wisma Darul Aman minggu depan.
“Memang banyak kes kecurian kabel berlaku di seluruh Kedah dan ia menjadi masalah besar kepada pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan jalur lebar di negeri ini. Sebab itu banyak kaedah yang sedang dirancang untuk mengawal kecurian kabel dan memberi kesedaran kepada orang ramai.
“Mesyuarat ini bagi mencari langkah terdekat mengatasi masalah ini termasuk ingin mengusulkan cadangan supaya meminda beberapa akta seperti Akta Barang Lusuh 1946. Namun, kita akan bincang secara terperinci dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau ditanya mengenai isu kecurian kabel di negeri ini yang kerap belaku, termasuk kes terbaharu di Taman Berlian Indah, Sungai Petani pada Sabtu lalu melibatkan tiga suspek yang mencuri 30 batang kabel TM bernilai kira-kira RM2,000.
Norsabrina mengakui terdapat beberapa daerah yang telah dikategorikan sebagai kawasan tegar kecurian kabel, namun enggan mendedahkannya buat masa sekarang.
“Saya tidak boleh bagitahu daerah mana tetapi boleh saya katakan semua daerah memang ada kes kecurian kabel. Kita akan tengok perkara ini secara menyeluruh dan tidak hanya akan memberi perhatian khusus pada daerah yang berada di bawah kategori ini,” katanya.
Terdahulu, Norsabrina yang mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Penubuhan Sekolah Menengah Teknik Alor Setar yang ke 45 tahun.
Sekolah itu katanya menawarkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) yang pada masa sekarang dilihat penting memandangkan bidang kemahiran pekerja semakin diperlukan bagi mencapai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Saya yakin sekolah ini mampu menjadi sekolah teknik terbaik di Malaysia yang mampu melahirkan lebih ramai pekerja yang mahir dalam bidang sains dan teknologi,” katanya. – BERNAMA