Kedah Negeri Kedua Tertinggi Paling Ramai Perokok


ALOR SETAR - Sebanyak 26.5 peratus penduduk Kedah berusia 15 tahun ke atas adalah perokok dan jumlah itu adalah kedua tertinggi di negara ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, ia berdasarkan kepada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 yang turut mendapati, walaupun semua fasiliti kesihatan menawarkan khidmat berhenti merokok, namun hanya 17.2 peratus sahaja yang berjaya berhenti dalam tempoh enam bulan.

Sehingga kini katanya, sebanyak 58 klinik kesihatan di negeri ini menyediakan Klinik Berhenti Merokok kepada perokok yang berhasrat berhenti merokok menggunakan kaedah gabungan penggunaan  ubatan dan kaunseling.

“Mereka yang ingin berhenti merokok boleh ke klinik-klinik kesihatan daerah untuk mendaftar bagi menjalani rawatan berhenti merokok dengan kemudahan disediakan sebagai ikhtiar untuk berhenti merokok,” katanya selepas majlis Pelancaran Pewartaan Taman Awam sebagai Kawasan Larangan Merokok dan Nafas Baru Bermula Ramadan, sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia di Taman Jubli Perak, di sini, semalam.

Sehubungan itu, sempena Ramadan tidak lama lagi, beliau  menyarankan golongan perokok meninggalkan tabiat buruk itu kerana tinjauan pihaknya mendapati, 95 peratus  perokok dalam kalangan umat Islam menyatakan lebih mudah berhenti merokok ketika Ramadan.

“Sudah sampai masanya perokok guna peluang berpuasa selama 14 jam sehari untuk berhenti  merokok, kerana rokok membahayakan orang di sekeliling termasuk ahli keluarga yang turut menyedut asap rokokhingga terdedah kepada penyakit kanser,” katanya. 

Menurutnya, kempen berhenti merokok menerusi program  'Nafas Baru Bermula Ramadan' akan dipergiatkan bermula semalam, agar dapat mengingatkan orang ramai dan memberi motivasi kepada perokok bagi meninggalkan tabiat itu. - Bernama