Kekasih Jadi Dalang Kes Samun


IPOH – Seorang lelaki yang juga dalang dalam beberapa siri kes samun di sekitar bandar raya ini ditahan bersama teman wanitanya di sebuah hotel di Menglembu, kira-kira jam 12.20 tengah malam Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sebelum itu, seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai rakan penjenayah suspek ditahan di tepi jalan kawasan Buntong pada Rabu lalu, jam 12.45 tengah malam.

Menurutnya, penahanan suspek terbabit membawa kepada penemuan barangan curi serta peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah samun.

“Hasil pemeriksaan kita merampas beberapa barangan dipercayai hasil samun antaranya televisyen, pemain cakera video (DVD), jam tangan dan gelang tangan perak dengan tulisan Thailand.

“Selain itu, kita turut merampas beg tangan, kad pelajar, MyKad, lesen memandu, buku bank, kad ganjaran dan keistimewaan, kapak dan pisau,” katanya.

Katanya, siasatan ke atas suspek turut mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan dadah bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif.

“Susulan penahanan suspek membawa kepada tangkapan kedua kira-kira 24 jam kemudian membabitkan lelaki dan wanita masing-masing berusia 24 dan 19 tahun di sebuah bilik hotel di Menglembu.

“Suspek lelaki dipercayai dalang dalam kes samun manakala wanita terbabit dipercayai kekasihnya pula bertindak menjual barangan tersebut kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas dalang terbabit mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kes curi dan memiliki barang curi manakala teman wanitanya tidak mempunyai sebarang rekod.

“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah,” katanya.

Chang Keong berkata, penahanan itu turut membawa kepada penemuan barangan dipercayai hasil samun kumpulan berkenaan antaranya telefon bimbit pelbagai jenama, kunci kereta, jam tangan, loket dan gelang tangan emas, telur hiasan bersalut emas dan 10 jenis mata wang antarabangsa.

“Kita turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah iaitu pisau, pahat, pemutar skru dan tujuh rangkai kunci yang disimpan dalam satu beg kecil,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama enam hari dari tarikh tangkap dan mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api.

Dalam kes berasingan, cubaan seorang lelaki untuk meragut wanita gagal apabila ditahan orang awam di belakang Masjid An Nur, Tanjung Rambutan, Rabu lalu.

Chang Keong berkata, suspek yang berusia 35 tahun itu cuba meragut wanita berusia 20 tahun sebelum dihalang orang awam dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.43 pagi itu.

Menurutnya, suspek tersebut kemudiannya diserahkan kepada polis dan saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya adalah negatif.

“Suspek juga mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi,” katanya.

Sementara itu, Chang Keong berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan kerana dipercayai dalang kes curi motosikal di sini pada Khamis lalu.

“Tangkapan itu membawa kepada penemuan sebuah motosikal Honda C100 yang dilaporkan hilang di Bercham pada Februari tahun ini.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bagi membantu kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan di bawah kesalahan mencuri kenderaan bermotor,” katanya.

Sumber : Sinar Online