Kelantan Tidak Terjejas Dengan Peletakan Jawatan


KUALA LUMPUR – PAS menghormati keputusan PKR yang mengarahkan semua ahlinya yang dilantik secara politik dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan serta merta.

Menurut Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tindakan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan pentadbiran di negeri itu.

Katanya, setakat ini kerajaan Kelantan berpendapat mengekalkan lantikan politik daripada PKR bagi meneruskan pentadbiran kerajaan yang kini berjalan seperti biasa.

“Namun terpulang kepada PKR untuk mengekalkan mereka atau sebaliknya,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Dalam pada itu beliau turut mengulas berhubung kedudukan tiga Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor.

“PAS Selangor akan menunggu apa juga keputusan daripada Sultan Selangor,” katanya.

PKR menerusi mesyuarat Biro Politiknya malam tadi mengarahkan kesemua lantikan wakil parti itu dalam pentadbiran kerajaan Kelantan melepaskan jawatan serta merta.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan perkara itu ada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Tropicana di sini.

“Perkara itu turut telah disampaikan terus kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan,” katanya.

Tindakan itu menurut penganalisis politik tempatan adalah sebagai satu ‘sindiran’ kepada PAS yang enggan melepaskan jawatan tiga Exconya dalam kerajaan Negeri Selangor selepas parti Islam itu memutuskan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

PAS juga setakat ini masih mengekalkan tiga Exconya iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, dan Zaidy Abdul Talib; selagi tidak menerima titah daripada Sultan Selangor mengarahkan demikian. –Kedahnews.com