Kelibat TCH Di Stadium Larkin Cetus Tanda Tanya



ALOR SETAR – Khabar angin mengenai status bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang dahulunya dikaitkan dengan tawaran sebagai pembantu jurulatih Harimau Malaya kini kembali hangat diperkatakan. 

Kali ini, Cheng Hoe dikaitkan pula dengan dakwaan beliau bakal menyertai skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) dan akan menjadi ahli keluarga baru kepada  skuad Harimau Selatan tersebut.

Belum lagi reda mengenai isu kontrak yang sebelum ini hangat diperkatakan, kini muncul pula cerita baru selepas Cheng Hoe mengesahkan bahawa kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum dimuktamadkan.

Ramai peminat bola sepak terutama sekali penyokong Skuad Hijau Kuning tertanya-tanya apakah motif sebenar Cheng Hoe yang dilihat menghadirkan diri di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ketika pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Ceres Negros FC dari Filipina pada aksi pertama separuh akhir Zon Asia Tenggara Piala AFC, semalam.

Tindakan Cheng Hoe tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dan pertanyaan di hati peminat bola sepak tanah air.

Tambah menggemparkan dan mengejutkan apabila Cheng Hoe dilihat bukan sahaja menghadirkan diri sebagai penonton dalam perlawanan yang diadakan di Larkin tersebut, beliau juga turut dilihat bergambar bersama pasukan JDT.

Gambar Cheng Hoe bersama pemain pasukan JDT tersebut juga turut dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers dengan posting 'Keluarga JDT'. – Kedahnews.com