PETALING JAYA - Teka-teki siapa bakal menggalas tugas ketua jurulatih Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila jurulatih kelahiran Portugal dilantik untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak kebangsaan.
Menurut kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin, Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada atau lebih dikenali sebagai Nelo Vingada akan melaksanakan tugas pertama untuk mengemudi Malaysia menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun depan.
Kemudian, Vengada akan mengambil-alih tugas pengurusan skuad bola sepak negara di tanah air untuk menentang Lebanon di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Johor selang lima hari kemudian.
Digelar sebagai 'The Professor' kerana kaedah pengurusannya yang bijak dan amat dikenali atas gaya kejurulatihan yang baik selaim sikap tegas dan dominan terhadap pemain memikat FAM untuk melantiknya menggalas tanggungjawab besar itu.
Mengulas tentang pelantikan tersebut, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, jurulatih yang membimbing Harimau Malaya perlu memainkan peranan sebagai seorang guru yang mendidik pemain kebangsaan.
Sambil mengambil kira pengalaman dan usia Vengada, Tunku Ismail menyuarakan keyakinan bahawa jurulatih kelahiran Portugal itu mampu membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan.
"Kerjaya beliau bersama beberapa pasukan kebangsaan iaitu dalam pasukan belia dan skuad utama selain dan beberapa kelab yang telah beliau latih menunjukkan pengalaman beliau yang sangat banyak dalam etika kerjanya.
"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vengada dan, kami berharap boleh bekerja bersama Vengada, dan harapnya, menemui kejayaan baru," katanya.
Sementara itu, Vingada turut menyuarakan rasa terima kasih beliau kepada Tunku Ismail atas pelantikan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana telah menghubungi saya dan kemudian bertemu dengan saya di Johor baru-baru ini.
"Pelantikan ini merupakan satu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Malaysia. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya tidak sabar untuk memulakannya," katanya.
Vingada akan tiba di Malaysia pada 25 Mei untuk memulakan tugasannya secara rasmi sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dan memulakan kerjasama dengan para pemain.
Berikut adalah biodata dan pengalaman The Professor dalam dunia kejurulatihan:
NAMA: Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada (Nelo Vengada)
GELARAN: The Professor
USIA: 64 Tahun (30 Mac 1953)
Pengalaman pebagai pemain:
1964–1974 - Atlético CP
1974–1975 - Sintrense
1975–1979 - Belenenses
Pengalaman sebagai jurulatih:
1981–1982 - Belenenses
1982–1983 - Académica de Coimbra
1983–1984 - Sintrense
1984–1986 - Vilafranquense
1988–1991 - Portugal U-20 (pembantu)
1993–1994 - Portugal
1994–1995 - Portugal U-20
1995–1996 - Portugal Olympic
1996–1997 - Arab Saudi
1997–1998 - Benfica (pengurus)
1999–2003 - Marítimo
2003–2004 - El Zamalek
2004–2005 - Egypt Olympic
2005–2006 - Académica de Coimbra
2007 - Wydad Casablanca
2007–2009 - Jordan
2009 - Persepolis
2009 - Vitoria
2010 - FC Seoul
2011–2012 - Dalian Shide
2013–2014 - Iran (pembantu)
2014 - Iran Olympic
2016 - Marítimo
2016–2017 - NorthEast United
2017 - Harimau Malaya
Ringkasan pengalaman Nelo Vingada
- Nama Vengada dalam bidang kejurulatihan mula bersinar ketika bergelar pembantu jurulatih Carlos Queiroz untuk pasukan Portugal bawah 20 tahun apabila gandingan mereka berdua berjaya menjulang skuad Portugal menjulang Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun pada 1989 dan 1991.
- Selepas menyambung kejayaan Queiroz sebagai ketua jurulatih, Vingada konsisten membawa pasukan Portugal Bawah-20 mara ke separuh akhir acara utama seperti Piala Dunia FIFA Bawah-20 pada tahun 1995 dan Sukan Olimpik pada tahun 1996.
- Vingada, yang telah melibatkan diri dalam kerjaya sebagai pengurus melebihi 35 tahun serta masih aktif merupakan seorang tokoh yang popular di rantau Asia.
- Beliau menjadi jurulatih untuk pasukan senior Arab Saudi (1996-1997), pasukan Olimpik Mesir (2004-05), pasukan kebangsaan Jordan (2007-09), dan skuad Olimpik Iran (2014).
Sumber: mStar