ALOR SETAR - Kerajaan negeri menggariskan beberapa persediaan awal bagi memastikan krisis air pada musim perayaan yang berlaku saban tahun, tidak berulang pada tahun ini.
Exco Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, jawatankuasa bertindak tangani krisis bekalan air yang diwujudkan Julai 2016 komited mendepani isu berkenaan lebih awal.
“Kita akan pastikan masalah bekalan air musim perayaan dapat dikurangkan berbanding tahun lalu, agak sukar untuk selesaikan sepenuhnya kerana masih dalam proses naik taraf loji serta baik pulih infrastruktur,” katanya, selepas majlis penyerahan tong air statik kepada Adun-Adun BN, di Wisma Darul Aman, semalam.
Penyerahan tong air statik fasa pertama melibatkan 1,000 unit dengan kos lebih RM200,000 untuk diagihkan ke kawasan kritikal.
Antara lokasi panas adalah di Sungai Tiang dibekalkan sebanyak 150 tong, Bukit Lada (100), Tanjung Dawai (100), Bayu (100) serta Kupang (100).
Katanya, kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk rakyat, terutama perantau yang pulang untuk beraya di negeri ini.
“Namun rakyat juga harus sedar, kami lakukan setakat mampu untuk penuhi keperluan. Disebabkan itu, kita adakan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang, antaranya agihan tong air statik berkapasiti 100 gelen kepada pengguna kurang mampu,” katanya.
Menurutnya, agihan dilakukan oleh pejabat Dun masing-masing dalam menunaikan janji yang dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika mewujudkan jawatankuasa itu tahun lalu.
Katanya lagi, pengguna juga dinasihatkan agar berhemah dalam penggunaan air ketika musim perayaan.
“Syarikat Air Darul Aman (Sada) akan bantu bekalkan bekalan air jika ada aduan, namun kita cuba minimakan masalah rakyat ini sepanjang musim perayaan,” katanya.
Menurutnya, projek menaiktarafkan lima buah loji rawatan air bernilai lebih RM600 juta telah diluluskan kerajaan pusat dan dibuka tender Julai depan.
“Ia melibatkan Loji Rawatan Air Jenun Baru, Loji Rawatan Air Pelubang, Loji Rawatan Air Bukit Selambau, Loji Rawatan Air Sungai Limau, Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama; kesemua projek dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Badrol Hisham berkata, selepas semua loji beroperasi, masalah bekalan air di Kedah akan pulih sepenuhnya menjelang 2020.
“Loji Rawatan Air Pelubang bernilai tinggi, iaitu daripada 120 juta mld kepada tambahan 227 juta mld bagi kawasan Alor Setar dan Kuala Kedah, termasuk untuk kegunaan tambahan projek mega seperti Projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) dan Kedah Science City,” katanya.
Manakala, Loji Rawatan Air di Pokok Sena dijangka beroperasi selepas Aidilfitri, dengan kapasiti 30 juta mld, seterusnya menyelesaikan gangguan bekalan air di lokasi panas sekitar Pokok Sena dan Kuala Nerang.
Sumber : Sinar Online