Kerajaan Siap Siaga Hadapi Keganasan


KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sentiasa dalam keadaan waspada dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang ancaman keganasan.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak memandang ringan insiden pengeboman yang berlaku di Jakarta, Indonesia dan Manchester United Kingdom (UK) walaupun insiden berkenaan tidak pernah berlaku di negara ini.

“Kita di Malaysia seharusnya jangan rasa selesa dengan keadaan ini, rakyat seharusnya memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan negara.

“Pihak polis melakukan pemantauan berterusan dan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga kerana kita yakin pencegahan lebih awal lebih berkesan dalam menangani keganasan,” katanya ketika sidang akhbar di Universiti Malaya hari ini.

Sumber : Utusan Online