BUKIT KAYU HITAM - Sejak dibuka kepada orang ramai awal bulan ini, Darul Qiyyam Mall tidak mendapat sambutan daripada pengunjung yang keluar masuk dari sempadan Malaysia-Thailand.
Seorang peniaga produk kesihatan dan kecantikan, Mohammad Farid Yusoff, 32, berkata, pelanggan yang datang ke kedainya merupakan pelanggan tetap yang tahu dia berpindah ke situ.
“Walaupun bas pelancong setiap hari lalui jalan ini, tapi belum ada lagi bas yang singgah datang membeli di sini.
“Ramai yang tak tahu kami dah beroperasi, mungkin sebab dari pandangan luar kompleks ini macam tak berpenghuni,” katanya.
Menurutnya, kompleks ini kekurangan promosi dan pendedahan yang menyebabkan ia kelihatan ‘mati’ dan tidak mendapat sambutan.
“Kami tak minta promosi besar-besaran, cukup kalau dinaikkan kain rentang di beberapa kawasan tumpuan.
“Mungkin itu dah cukup untuk maklumkan ada kedai yang dah dibuka. Antaranya kedai baju, kraf tangan dan makanan ringan. Kedai selebihnya, saya difahamkan akan buka lepas raya nanti," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga yang dikenali sebagai Kak Yah, 65 berkata, sebagai tarikan juga, mungkin pihak berkuasa dapat memberi peluang kepada peniaga pasar malam berniaga di kawasan kompleks.
“Secara tak langsung, kompleks ini jadi tumpuan dan orang ramai tahu kewujudan kedai di sini.
“Sepanjang berniaga di sini, pendapatan sangat kurang, dahlah setiap hari saya ulang alik dari Padang Besar ke sini,” katanya.
Menurutnya, kompleks ini mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan kawasan parkir yang luas.
“Cuma medan selera saja belum ada lagi. Mungkin kalau ada tempat makan di sini, pengunjung akan lebih tertarik untuk datang, sambil menjamu selera, boleh juga membeli-belah,” katanya.
Seorang pemandu teksi, Zainudin Zakaria, 42, berkata, secara fizikalnya, kawasan sekitar kompleks berkenaan masih belum siap sepenuhnya.
“Jalan belum siap, kawasan yang nak dibina medan selera juga masih dalam proses. jadi bila kompleks ini dibuka, ia seperti tak ada tarikan untuk dikunjungi.
“Pemandu bas pun mesti fikir banyak kali untuk singgah, sekurang-kurangnya kena ada medan selera untuk mudahkan penumpang menjamu selera.
“Penduduk kawasan sekitar seperti Changlun, Jitra memang tahu kompleks ini dibuka, tetapi dari Alor Setar dan luar Kedah, mereka tak tahu,” katanya.
Sementara itu, Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, kerajaan tempatan perlu mengadakan program perniagaan atau pelancaran di kompleks berkenaan sebagai promosi kepada orang ramai.
“Ia sebagai medium untuk menguar-uarkan mengenai pusat perniagaan baharu yang wujud di kawasan Bukit Kayu Hitam ini.
“Kita tidak boleh harapkan peniaga lakukan promosi secara bersendirian, kerana ia agak sukar dan kurang berkesan,” katanya.
Ahmad Zaini berkata, selain itu, kerajaan tempatan juga seharusnya memberi insentif sebagai galakan kepada peniaga di situ.
“Insentif yang saya maksudkan adalah peniaga diberi diskaun sewa kedai untuk enam bulan pertama bagi menarik lebih ramai peniaga masuk berniaga di situ.
“Ini hanya sementara untuk memberi peluang peniaga dikenali orang ramai dan mendapat pelanggan tetap,” katanya.
Katanya, kerajaan tempatan juga perlu bersikap positif dalam membantu peniaga.
“Mereka perlu lihat apa yang diperlukan peniaga dalam memastikan peniaga dapat mencari rezeki dalam keadaan yang selesa.
“Agar di masa hadapan, tidak timbul isu peniaga lari dari membayar sewa dan sebagainya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian