Kes Demam Denggi Meningkat 67.1% Di Kedah - Dr Norhizan


SUNGAI PETANI – Sebanyak 513 kes demam denggi dicatatkan di seluruh negeri ini bagi tempoh Januari hingga 6 Mei lepas, yang meningkat 67.1 peratus atau 206 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata dalam tempoh itu tahun ini, tiga kematian akibat denggi dilaporkan iaitu satu kes di Kulim dan dua lagi di Kuala Muda.

Beliau berkata bagi penyakit Chikungunya pula, sejumlah 128 kes di catatkan di Kedah bagi tempoh sama.

“Penyakit Chikungunya dilaporkan di tiga daerah iaitu Kuala Muda (58 kes), Baling (69 kes) dan Kulim (satu kes). Wabak Chikungunya telah berakhir di Baling dan Kulim serta tiada lokaliti wabak itu aktif di kedua-dua daerah itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes denggi dan Chikugunya termasuklah kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan taman perumahan dan keadaan persekitaran yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Selain itu, pembuangan sampah atau sisa pepejal yang tidak terurus, perubahan cuaca serta pergerakan manusia ke tempat lain, turut menjadi faktor penyebab penularan kes berlaku dengan lebih cepat,” katanya. – BERNAMA