Kes Denggi Di Kedah Meningkat Lebih 67%


ALOR SETAR – Jumlah kes demam denggi di Kedah yang dicatatkan dari Januari sehingga 6 Mei tahun ini meningkat 67.1 peratus kepada 513 kes berbanding 206 kes yang dicatatkan untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, setakat ini, Kulim antara lapan daerah yang menunjukan peningkatan yang ketara berbanding daerah-daerah lain dengan 131 kes berbanding 48 kes dicatatkan sebelum ini.

Beberapa daerah turut menunjukkan peningkatan antaranya Kuala Muda dengan 189 kes berbanding 128 kes, Kubang Pasu 37 kes daripada 16 kes, Langkawi 20 daripada dua kes dan Sik 19 berbanding lima kes sebelum ini.

“Terdapat juga beberapa daerah yang menunjukkan penurunan kes seperti daerah Pendang dengan enam kes daripada 11 kes, dan Yan, empat kes berbanding enam kes, manakala Kota Setar mencatatkan bilangan kes yang sama iaitu 27 kes,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata, sejumlah 128 kes chikungunya turut dilaporkan di negeri ini yang melibatkan Kuala Muda dengan 58 kes, Baling 69 kes dan Kulim dengan satu kes.

Bagaimanapun, wabak di Baling dan Kulim telah berjaya dikawal dan hanya tertumpu di daerah Kuala Muda.

Katanya, empat lokaliti wabak yang masih aktif di Kuala Muda ialah di Taman Ria Jaya Zon F, Taman Berangan , Taman Ria Zon 5 dan Taman Ria Zon 4. – BERNAMA