Kes Hon Masjid Selesai, Semua Capai Kata Sepakat


KES pergaduhan seorang lelaki dengan beberapa jemaah ketika solat Jumaat di sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru, semalam selesai selepas ahli jawatankuasa surau terbabit mencapai kata sepakat dengan ketua masyarakat Cina setempat.

Jawatankuasa surau itu menerusi laman Facebook memaklumkan kes itu diselesaikan secara diplomasi selepas satu pertemuan yang diadakan bersama ketua masyarakat Tiong Hwa Mukim Tebrau yang turut disaksikan anggota dan pegawai Balai Polis Setia Indah selain pegawai Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Katanya, menerusi perbincangan itu mereka mencapai kata sepakat bahawa kes itu diselesaikan dengan baik dan meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

“Pemandu terbabit dalam kejadian itu tiada di lokasi kerana pengurusan surau sudah menyelesaikan perkara berkenaan ketika pertemuan di balai polis berkenaan pada petang hari kejadian.

“Kebetulan ketika itu kedua-dua pihak membuat laporan di balai polis sama dan hasil perbincangan, mereka mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes ini.

“Pada masa sama, kami menyerahkan segala siasatan kepada polis dan sanggup memberikan kerjasama kepada semua pihak,” kata jurucakap surau itu yang dipetik Harian Metro.


Menurutnya, pihaknya berharap orang ramai terutama netizen tidak akan menularkan sebarang kenyataan berbentuk provokasi hingga boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.

Dalam kejadian semalam, tindakan biadab seorang lelaki yang membunyikan hon keretanya sambil menunjukkan isyarat lucah semasa jemaah sedang solat Jumaat menyebabkan lelaki itu dibelasah oleh sekumpulan lelaki di hadapan surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru itu. -Kedahnews.com