Kes Pelajar Mati: Tiada Kesan Dipaksa Minum Racun


Hasil bedah siasat pelajar tingkatan tiga yang maut kerana dipercayai dibuli dan dipaksa minum racun oleh sekumpulan pelajar menunjukkan tiada bukti dia diperlakukan sedemikian.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin hasil bedah siasat yang dilakukan pihak forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) namun mengesahkan mangsa, S Pavin, 15, maut akibat racun jenis racun rumpai.

“Namun, tiada kesan kecederaan pada tangan, kaki dan badan yang menunjukkan remaja itu dipaksa orang lain untuk minum racun. Tiada juga kesan luka dalaman pada bahagian mulut dan tekaknya.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa kesan luka lama akibat hirisan pada lengan kiri,” katanya seperti yang dipetik Harian Metro pada sidang media di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan.

Susulan itu, pihak polis masih lagi meneruskan siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan insiden buli tersebut agar memaklumkan kepada pihaknya.

Sementara itu, Zaldino menafikan dakwaan bahawa pihak polis menyembunyikan maklumat berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, mangsa dilaporkan muntah dan mengadu sakit perut kepada bapanya sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Nilai lalu dirujuk ke HTJ.

Dalam kejadian 26 April lalu, mangsa mendakwa dibuli dan diseksa minum racun oleh sekumpulan pelajar gara-gara menegur mereka sedang menghidu gam di Pekan Nilai. –Kedahnews.com