Kes Pukul Pemandu Hon Depan Masjid: 4 Lelaki Dilepaskan


JOHOR BAHRU – Empat lelaki dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil bagi membantu siasatan kejadian di sebuah surau di Taman Austin Perdana, di sini kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, keempat-empat individu itu ditahan di depan surau berkenaan pukul 1 pagi Sabtu sebelum dibebaskan kira-kira tiga jam setelah keterangan mereka diambil.

“Pihak polis malahan telah bertemu dengan beberapa pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan dan kes tersebut setakat ini sebenarnya berada dalam keadaan terkawal.

“Masyarakat pula bagaimanapun diingatkan untuk tidak membuat sebarang kenyataan berbentuk provokasi khususnya dalam laman sosial,” kata Wan Ahmad lagi.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar sempena Karnival Sukan dan Pasaria Anjuran Persatuan Kebajikan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini semalam.

Semalam, tular dalam laman sosial kejadian membabitkan sekumpulan jemaah menyerang sebuah kereta dipercayai akibat tindakan pemandu yang membunyikan hon semasa jemaah khusyuk menunaikan solat Jumaat.

Ekoran insiden ‘panas’ itu, empat suspek yang masing-masing berumur antara 21 dan 55 tahun ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan. – Agensi