PUTRAJAYA - Seorang pemandu van yang direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah bagi melindungi pusat judi haram serta rumah urut di sekitar Melaka, dibebaskan hari ini.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan lelaki berusia 32 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
Lelaki itu yang dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam kes rasuah membabitkan pusat judi haram di sekitar Melaka itu sebelum ini direman enam hari sejak 25 Mei lalu.
Terdahulu, dia tiba di perkarangan mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna jingga serta tangan bergari, kira-kira jam 9 pagi.
Setakat ini, seramai 13 individu termasuk sembilan pegawai dan anggota polis serta empat orang awam ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Bagaimanapun, 12 daripada mereka sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sumber: Berita Harian